Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada media pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berpendapat perlu ada undang-undang baharu yang boleh dikenakan kepada ibu bapa yang menjadikan pusat tahfiz sebagai tempat pembuangan.

Ini kerana terdapat ibu bapa yang salah faham dan tidak serik dengan menjadikan pusat tahfiz sebagai tempat melepaskan tanggungjawab kepada anak-anak yang masih kecil.

“Kalau tanya saya, saya nak cari satu undang-undang yang boleh ambil tindakan kepada ibu bapa. Itu salah satu pilihan sebab mereka tak pernah serik. Letak anak berusia tujuh tahun, apa dosa anak tujuh tahun itu.

“Itu konsep yang salah dalam kalangan ibu bapa, kadang-kadang hantar anak tahfiz bukan sebab nak jadi hafiz tapi mereka biar situ sebab selesai masalah makan minum, petang baru ambil.

“Atau masukkan ke asrama dan tak perlu fikir dah. Ini adalah salah. Tahfiz dijadikan dumping ground (tempat buangan)dan anak-anak menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 Peringkat Kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kes seorang pelajar tahfiz mati dipercayai akibat dipukul di Temerloh, Pahang.

Murid lelaki yang berusia 7 tahun itu ditemui wardennya kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin dan dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di klinik terbabit.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menambah, ibu bapa juga perlu melihat kesesuaian sekiranya mahu menghantar anak mereka yang baharu berusia 7 tahun ke pusat tahfiz.

“Kesesuaian anak 7 tahun itu perlu dilihat, macam mana keadaan tahfiz itu, keadaan, kebajikan, kurikulumnya. Saya tak kata umur tujuh tahun tak boleh hantar ke tahfiz, itu pilihan ibu bapa.

“Tapi pilihan bagaimana, adakah sekadar dumping ground lepas tu tinggal, buat hal masing-masing dan tengok-tengok, anaknya jadi sesuatu.

“Akhirnya tahfiz jadi dumping ground, tidak menjadi institusi yang dihormati,” tegas beliau.

Sementara itu, Mujahid meluahkan kekecewaannya apabila dimaklumkan pusat tahfiz di Temerloh itu tidak berdaftar. – MalaysiaGazette