Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Maszlee Malik (tengah) beramah mesra dengan sebahagian ahli NGO yang hadir pada Program Sesi Dialog bersama NGO Tionghua bagi membantu calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Kampung Timor Laut, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2019.

KUKUP – Adalah tidak adil untuk menghukum kerajaan yang secara ikhlas berusaha untuk memulihkan negara untuk kembali sebagai harimau Asia, kata Dr Maszlee Malik.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menambah, kerajaan yang baru berusia hampir dua tahun sepatutnya disokong oleh rakyat dalam usahanya untuk  membaiki kerosakan yang telah diakibatkan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Kerajaan PH yang usianya kurang dua tahun itu telah merangka banyak program terbaik untuk mengembalikan keadaan negara agar kuat dan stabil semula

“Pengundi perlu bersabar dan fikir secara matang dengan mengambil kira segala kerosakan yang ditinggalkan kerajaan lama dan kerja keras kami memulihkan negara.

“Kalau tak puas hati dengan prestasi dua tahun bagaimana dengan BN 60 tahun rosakkan negara, takkan hanya dua tahun nak hukum kita.

“Wakil rakyat kami begitu dedikasi dan tak terlibat rasuah maka adakah adil nak hukum orang nak bawa negara jadi harimau Asia bebas rasuah….fikirkanlah secara bijaksana pengundi-pengundi Tanjung Piai yang saya hormati,”katanya kepada pemberita di Kampung Kukup Laut sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertanyaan tentang pengundi Cina di Tanjung Piai yang tidak mahu mengundi calon PH kali ini kerana rasa tak puas hati terhadap pembaharuan dalam dasar pendidikan khususnya melibatkan pendidikan Cina UEC, seni khat dan kolej Tunku Abdul Rahman di negara ini.

Beliau terdahulu mengadakan dialog bersama NGO Tiong Hua yang terdiri daripada penduduk, guru-guru, guru besar dan pengelola sekolah Cina di kawasan tersebut.

Beliau berharap pengundi Tanjung Piai berfikir secara matang dan membuat keputusan memilih pemimpin PH Karmaine Sardini untuk mengukuhkan kerajaan supaya terus memerintah dan membangunkan negara tanpa masalah.

Bagi tujuan itu katanya, rakyat seharusnya menjadi benteng kerajaan PH supaya pembangunan yang dirancang untuk kesejahteraan rakyat tidak terhalang.

Beliau turut menyentuh isu pendidikan yang diusahakan kerajaan hari ini untuk mengelak anak-anak keciciran pendidikan.

“Saya terharu kerana ziarah cakna yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan awal tahun ini membuahkan hasil apabila para guru-guru di kawasan Tanjung Piai khususnya Kukup Laut menziarah setiap keluarga miskin nelayan dan menerangkan kepentingan pendidikan dan membawa anak-anak yang masih tidur di rumah ke sekolah untuk belajar.

“Saya terhutang budi dengan apa yang sedang dilakukan para guru serta pengelola sekolah sini walaupun mereka tidak dibalas sebarang imbuhan atau elaun tambahan.

“Saya mahu dedikasi ini diteruskan untuk memastikan anak anak kita dididik demi masa depan yang cemerlang,”katanya lagi.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.