Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Masyarakat disaran memupuk sikap rahmah agar dapat mewujudkan persefahaman dan kasih sayang serta mengelakkan perpecahan dan pertelingkahan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur seterusnya merealisasikan hasrat untuk membentuk sebuah negara yang cemerlang.

Tegas beliau tanpa perpaduan, negara akan terdedah dengan pelbagai ancaman yang pasti akan mengakibatkan kedaulatan dan ketenteraman negara terjejas.

“Ummah seharusnya mencari titik persamaan agar Malaysia menjadi sebuah negara Islam contoh yang menjunjung erti kesatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyatnya.

“Kita perlu berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat iaitu menuju ke arah kebaikan, kemajuan dan pembangunan seimbang yang menatijahkan ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur’ (Negara yang baik dan diampuni Tuhan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis sambutan Maulidur Rasul 1441 Hijrah/2019 Peringkat Kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut berangkat menyempurnakan majlis, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mujahid menambah, dengan penghayatan konsep rahmah oleh setiap individu Muslim, Malaysia dapat menjadi model negara Islam terbaik dan mencipta kegemilangan dalam kalangan negara-negara Islam dan negara bukan Islam sedunia.

Ujar beliau, seterusnya negara dapat mempengaruhi dunia sepenuhnya untuk berubah kepada dunia baru yang rahmah, saling menyantuni setiap penjurunya dengan santunan kemanusiaan, santunan ihsan dan santunan peradaban.

“Model inilah yang kita namakan sebagai model Malaysia, yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Rahmah, yang kaya dengan prinsip-prinsip kehidupan bermasyarakat.

“Justeru, bersempena Rabi’ulawal yang sedang kita lalui ini, marilah kita sama-sama mencontohi dan mengamalkan seboleh mungkin akhlak yang telah ditonjolkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

“Ini bagi membuktikan kecintaan kita kepada kekasih agung Allah SWT, Nabi Muhammad SAW, agar ia menjadi wadah kepada transformasi keseluruhan kehidupan kita kepada yang lebih baik dan diredhai,” katanya. – MalaysiaGazette