Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini membela bekas majikannya, Datuk Seri Najib Razak berhubung perintah bela diri membabitkan tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah masih memihak kepada Najib dan beliau hanya boleh dihukum selepas perbicaraan kepada semua pertuduhan itu selesai.

“Walaupun dia diperintah untuk membela diri tidak bermaksud beliau didapati bersalah sehingga kes ini selesai,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Khairy berkata demikan ketika ditanya sama ada UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menjarakkan diri mereka dengan Najib selepas keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Najib dan Khairy sebelum ini tidak sehaluan selepas BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Mei tahun lalu.

Situasi itu lebih keruh apabila Khairy secara terang-terangan tidak setuju dengan pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN pada Julai lalu.

Khairy berkata, “Tiba-tiba, saya tidak gembira di mana saya berada sekarang.”

Beliau berkata demikian dua hari selepas menolak pelawaan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyertai parti itu sebelum ini.

Najib hari ini diarahkan untuk membela diri selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan wujudkan kes prima facie bagi kesemua tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau diperintah membela diri bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu.

Bekas Perdana Menteri itu memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Kes SRC International: Najib diperintah bela diri

SRC International: Najib pilih beri keterangan bersumpah bela diri

1 Komen

  1. Betul la tu KJ, sehingga kes selesai n mahkamah memutuskan bersalah, barulah bersalah. Ini sama dgn kes jenayah bunuh, walau pun memang seseorg yg melakukan pembunuhan, ttp dgn ‘kepintaran’ olahan peguam bela. Dgn pelbagai alasan n tanpa bukti yg cukup/jelas maka mahkamah memutuskan beliau tidak bersalah. Maka beliau dibebaskan tanpa dikenakan apa2 hukuman.

Comments are closed.