IFSB Summit bakal berlangsung di Jakarta pada 12 hingga 14 November 2019.

KUALA LUMPUR – Inovasi teknologi dalam kewangan Islam akan menjadi fokus Sidang Kemuncak tahunan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) kali ke-14 yang bakal berlangsung di Jakarta mulai esok hingga 14 November ini.

Ia seiring dengan kemunculan inovasi baharu dalam teknologi kewangan seperti kepintaran buatan (artificial intelligence, AI), teknologi kewangan (financial technology; fintech), blockchain, rec tech, super tech dan semua yang berkaitan dengan teknologi.

Sesuai dengan fokusnya, sidang kemuncak tahun ini bertemakan ‘Kewangan Islam Untuk Kemampanan Pembangunan Dalam Era Inovasi Teknologi’, kata Setiausaha Agung IFSB, Dr. Bello Lawal Danbatta

Sidang kemuncak kali ini juga akan meninjau pelbagai cabaran dan potensi teknologi serta bagaimana kewangan Islam dapat menanganinya, juga mengambil kesempatan dalam inovasi teknologi untuk memakmurkan serta menyediakan kemampanan pembangunan penyelesaian secara global.

Penganjuran forum IFSB dalam sidang kemuncak ini turut dijadikan peluang untuk menarik pelbagai sektor dan peringkat global untuk berkongsi idea-idea baharu dengan peserta, menambah baik dan memberi fokus kepada perkara-perkara yang perlu diberi penekanan serta meningkatkan industri inovasi.

“Perkara-perkara ini adalah penting dan menjadi keutamaan IFSB dalam usaha mempromosi pertumbuhan dan mengambil faedah teknologi dalam industri kewangan Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beberapa tokoh dan pemimpin berprofil tinggi bertaraf dunia akan menyertai sidang kemuncak sepanjang empat hari itu.

Selain Dr Bello, mereka ialah Dr. Perry Warjiyo, Gabenor Bank Indonesia; Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia; Ahmed Abdulkarim Alkholifey, Gabenor Pihak Berkuasa Monetari Arab Saudi; Tahir bin Salim bin Abdullah Al Amri, Presiden Eksekutif Bank Pusat Oman; A. K. M. Amjad Hussain, Pengarah Urusan Bank Bangladesh dan Dr. Mahmoud Mohieldin, Naib Presiden Kanan Bank Dunia.

Selain acara-acara lain yang terkandung dalam sidang kemuncak itu, IFSB turut menganjurkan beberapa woksyop yang bertujuan untuk meningkatkan pemahaman para peserta mengenai standard dan prinsip panduan bagi memudahkan pelaksanaan kewangan Islam di negara masing-masing.

Ia turut membantu para peserta dalam penggunaan praktikal dalam menangani isu-isu membabitkan piawaian tertentu melalui kajian kes, latihan dan alat interaktif lain.

Woksyop itu turut mempromosi perkongsian pengalaman para peserta dalam pelaksanaan standard dan prinsip panduan IFSB. – MalaysiaGazette