Evo Morales

LA PAZ – Presiden Bolivia, Evo Morales meletak jawatan berikutan tekanan daripada tentera dan orang awam selepas kejayaan beliau dipilih semula menimbulkan dakwaan penipuan dan mencetuskan bantahan.

Keputusan itu dilakukan Morales dengan pantas termasuk tawaran beliau untuk mengadakan pilihan raya baharu.

Bagaimanapun krisis tersebut semakin parah apabila ketua tentera yang bercakap pada televisyen nasional menggesa beliau melepaskan jawatan.

“Saya menghantar surat peletakan jawatan kepada Dewan Perundangan Bolivia,” kata pemimpin sosialis berusia 60 tahun itu.

Beliau menambah: “Saya meminta anda berhenti menyerang saudara dan saudari, berhenti membakar dan menyerang,”.

Hon kereta mula dibunyikan di La Paz dan bandar-bandar lain sebelum Morales habis membaca kenyataannya dan orang ramai turun yang ke jalan raya untuk meraikan pengumuman tersebut mengibarkan bendera Bolivia dan membakar bunga api.

Morales merupakan orang asli pertama Bolivia memegang jawatan Presiden dan beliau telah memerintah selama 13 tahun sembilan bulan, tempoh presiden paling lama dalam sejarah negara itu.

Bagaimanapun, dakwaan Morales yang memenangi jawatan presiden untuk penggal keempat pada bulan lalu mencetuskan pemberontakan yang menyaksikan tiga orang terbunuh dan lebih 100 orang cedera dalam pertempuran antara penyokongnya dan mereka yang menentang beliau.

Terdahulu Organisation of American States dalam laporan awalnya berkata, ia menemui ‘timbunan penyelewengan’ pada pilihan raya ke-20 Oktober lalu dan pilihan raya baharu perlu dilakukan.

Morales bersetuju dengan cadangan tersebut namun dalam tempoh beberapa jam, Ketua Tentera, Jeneral Williams Kalima berkata, ia tidak mencukupi.

“Selepas menganalisis situasi konflik dalaman, kami meminta presiden meletak jawatan bagi membolehkan keamanan dipulihkan dan kestabilan dikekalkan untuk Bolivia,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast