Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajya. foto IQBAL BASRI, 11 NOVEMBER 2019

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau terkejut apabila Datuk Seri Najib Razak terkejut kerana diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi hari ini kerana wujud kes prima facie dalam kes penyelewengan dana SRC International.

Kata Perdana Menteri, walaupun satu dunia tahu kesalahan Najib menyalahgunakan kuasanya, namun bekas perdana menteri itu masih diberi peluang mempertahankan dirinya di mahkamah menerusi proses perundangan sedia ada.

“Saya terkejut yang dia (Najib) terkejut, seluruh dunia tahu bahawa Najib bersalah tetapi kita mengikut kedaulatan undang-undang. Kita hadapkan dia (Najib) ke mahkamah. Sesi pendengaran juga mengambil masa beberapa bulan itu cara kita sebagai sebuah kerajaan,” katanya lagi.

Najib hari ini memilih untuk memberi keterangan bersumpah sapabila diperintahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Tinggi selepas perbicaraan selama tujuh bulan dan 57 saksi dipanggil. 

Sementara itu ditanya dakwaan Datuk Lokman Noor Adam wujud campur tangan Dr Mahathir dalam keputusan mahkamah itu, Perdana Menteri mencabar Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu membuktikan tuduhannya itu.

Beliau berkata semenjak pentadbirannya sebelum ini sehingga kini beliau tidak pernah campur tangan dalam mana-mana perbicaraan sebaliknya mengikuti proses undang-undang.

“Kalau dia boleh buktikan (saya campur tangan perbicaraan) silakan.

“Saya tidak pernah campur tangan perbicaraan, masa saya pun parti saya diharamkan saya tidak bantah saya ikut prosuder dengan cara baik,” katanya.

Lokman hari ini mendakwa tindakan tidak memanggil tiga saksi utama dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang mengaitkan Najib membuktikan wujud campur tangan daripada Perdana Menteri.

Tiga saksi penting yang dimaksudkannya ialah ahli perniagaan Jho Low, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

SRC: Lokman Adam pertikai tidak panggil 3 saksi penting