Penumpang selesa menaiki koc kelas perniagaan Perkhidmatan Tren Elektrik 2 (ETS2) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Stesen KTM Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 10 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Tambang promosi perkhidmatan koc ‘Business Class’ (kelas perniagaan) bagi perkhidmatan tren elektrik ETS2 dilanjutkan sehingga 29 Feb depan.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan lanjutan itu susulan sambutan luar biasa orang ramai serta bagi membolehkan lebih ramai pengguna merasai perkhidmatan koc eksklusif tersebut yang diperkenalkan sempena pelancaran ETS2 secara komersial pada 11 Okt lepas.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan ETS2 akan turut meliputi laluan Kuala Lumpur Sentral-Butterworth-Kuala Lumpur Sentral pada bulan depan, berbanding hanya ke Padang Besar sebelum ini.

KTMB juga memaklumkan tiket perjalanan bagi ETS dan KTM Intercity bagi tiga bulan akan datang akan mula dijual pada 18 Nov ini, meliputi perjalanan bermula 1 Dis 2019 hingga 29 Feb depan.

“Para pengguna boleh membeli tiket mulai 8.30 pagi di mana-mana kaunter tiket KTMB atau secara dalam talian,” menurut kenyataan itu.

Penjualan tiket perkhidmatan Shuttle Tebrau di antara Johor Bahru Sentral dan Woodlands, Singapura bagaimanapun masih dibuka bagi tempoh 30 hari dari tarikh perjalanan.

Kenyataan itu turut menyebut perkhidmatan ETS bagi laluan Kuala Lumpur Sentral-Ipoh-Kuala Lumpur Sentral ditambah sebanyak dua perkhidmatan, menjadikan keseluruhan 40 ETS beroperasi setiap hari ekoran permintaan tinggi dalam kalangan penumpang bagi laluan tersebut.

— BERNAMA