Datuk Seri Azmin Ali. foto AFFAN FAUZI 22, OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seorang yang berani kerana memilih untuk membela diri menerusi keterangan bersumpah ekoran kes pertuduhan membabitkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC) hanyalah pandangan bekas pekerja kepada bekas majikannya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan bekas Naib Presiden UMNO itu hanyalah pandangan peribadi beliau berhubung kes Najib.

“Itu pandangan ahli kepada bekas Presiden dia. Biarlah itu bukan Presiden saya.

“Itu bosmu bukan bosku,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan awal hari ini berkata, Najib bertindak berani apabila Mahkamah Tinggi semalam mengarahkan beliau membela diri membuktikan masih tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

“Kita kena tengok proses mahkamah dan Najib dah buat keputusan untuk buat kenyataan bersumpah mahkamah dan diberikan ruang disoal balas pendakwaan. Itu satu keputusan tepat dan berani,” kata Hishammuddin di lobi Parlimen, hari ini.

Azmin dan Hishammuddin sebelum ini dilihat rapat apabila bergambar bersama pada Julai lalu, bersama Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Instagram beliau.

Malah media pada Disember lalu melaporkan kedua-dua mereka bersama keluarga masing-masing bercuti di Maghribi.

Gambar mereka dimuatnaik Twitter milik anak sulung Azmin, Ameer Azmin, di sebuah resort percutian di Marrakesh, Maghribi dengan kapsyen, ‘Keluarga kami bersatu semula’.

Dalam pada itu, Azmin turut menyangkal dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam wujud campur tangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kes yang dihadapi Najib.

“PM berpegang kepada prinsip ‘the rule of law’. Kita tidak mencampuri urusan mahkamah.

“Sebab itu bila nak tangguh dan lewatkan sidang dan pelbagai alasan daripada tertuduh itu terpulang kepada mahkamah, kita tidak pernah mencampuri urusan mahkamah,” katanya. -MalaysiaGazette

Bela diri bukti Najib seorang yang berani – Hishammuddin

1 Komen

Comments are closed.