Gelagat pengunjung merakamkan gambar mereka ketika melihat kapal terbang komersial mendarat secara dekat di tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Operasi dan perkongsian kod syarikat penerbangan Malaysia termasuk Malaysia Airlines ke dan dari Amerika Syarikat (AS) akan hanya terbatas kepada yang sedia ada susulan langkah Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) yang menurunkan penarafan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) daripada Kategori 1 kepada Kategori 2.

Malaysia Airlines berkata ini mungkin memberi kesan kepada perkongsian kod sedia adanya ke atau dari Amerika Syarikat (AS) dengan beberapa syarikat penerbangan, tertakluk kepada penilaian atau pertimbangan syarikat penerbangan itu sendiri.

Penumpang syarikat penerbangan nasional itu ketika ini terbang ke AS menerusi rakan kongsi oneworldnya.

Malaysia Airlines berkata ia mengekalkan standard keselamatan tertinggi seperti yang diperakui oleh Audit Keselamatan Operasi Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang sentiasa mendapat perakuan semula sejak 2005.

Syarikat penerbangan itu juga memiliki kelulusan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Penyenggaraan FAA.

“Malaysia Airlines dan syarikat sekutunya di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) sentiasa melaksanakan pelbagai audit bagi memastikan mereka setara dengan amalan terbaik antarabangsa dalam semua aspek pengurusan keselamatan,” kata syarikat itu.

Cabang pengendalian daratnya, AeroDarat Services, baru-baru ini memperoleh pensijilan Audit Keselamatan bagi Operasi Darat IATA yang menilai sistem pengurusan dan pengawasan sesebuah syarikat serta pelaksanaan proses dan prosedur operasi darat.

“MAG akan memberikan sokongan penuhnya kepada CAAM untuk memulihkan kembali penarafannya kepada Kategori 1,” kata Malaysia Airlines.

Semalam, CAAM mengumumkan FAA menyenaraikannya sebagai pengawal selia penerbangan Kategori 2 pada Isnin. Ini susulan kajian semula ke atas CAAM oleh FAA yang dilaksanakan pada April 2019.

CAAM juga menjelaskan pengkategorian itu hanya merangkumi peranannya sebagai pengawal selia dan bukan penilaian syarikat penerbangan, lapangan terbang atau perkhidmatan trafik udara yang berada di bawah naungannya.- BERNAMA