Pemain pasukan Thailand, Chanathip Songkrasin atau Messi Jay (kanan) pada sesi latihan sempena perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Thailand, Akira Nishino membawa skuad terkuat untuk memastikan pasukannya tidak tercicir mata menjelang pertemuan menentang Malahsia dalam aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Pengendali kelahiran Jepun itu pastinya menaruh harapan ke atas dua pemain yang kini beraksi dalam saingan kelab Liga 1 Jepun (J1) iaitu Chanathip Songkrasin dan Theerathon Bunmathan.

Chanathip, 25, yang turut dikenali sebagai ‘Messi Jay’ bakal menjadi tumpuan kerana kelincahannya selepas mencipta nama bersama kelab Liga J1, Consadole Sapporo sejak Julai 2017.

Kehebatan pemain bertubuh kecil yang memiliki ketinggi 158 sentimeter itu disamakan dengan bintang dunia, Lionel Messi kerana memiliki tendangan kedua-dua kaki yang berbahaya.

Malah kelibat Chanathip pada sesi latihan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil petang ini menjadi perhatian media tempatan dan negara jiran itu.

Dalam pada itu, walaupun skuad Gajah Putih kehilangan Thitipan Puangchan yang tersisih selepas baru sahaja pulih dari kecederaan namun kelibat penyerang veteran, Teerasil Dangda akan ditagih untuk memburu gol.

Teerasil semakin berbisa sejak dipanggil menyertai perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia selepas tidak beraksi pada perlawanan pertama bertemu Vietnam.

Selain itu, prestasi memuncak Ekanit Panya yang baru menjulang kejuaraan Thai League 1 bersama Chiangrai United serta Suphachok Sarachat dilihat bakal menjadi ancaman utama kepada Malaysia nanti.

Dengan ketiadaan Theerathon Bunmathan dalam perlaw anan esok akibat penggantungan, iamungkin sedikit sebanyak mampu melegakan kem Malaysia.

Namun anak buah Tan Cheng Hoe perlu lebih berwaspada untuk memastikan tiga mata menjadi milik Malaysia untuk terus mencabar kedudukan dalam kumpulan G.

Malaysia kini berada kedudukan keempat kumpulan dengan tiga mata selepas tiga perlawanan.

Harimau Malaya wajib menang ke atas Thailand esok dan Indonesia lima hari kemudian, kedua-duanya di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk mencerahkan peluang layak secara automatik ke saingan Piala Asia 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast