Menteri Belia Dan Sukan merangkap Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap pada Program Ceramah Harapan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kampung Sawah, Pekan Nenas, Johor. foto AFFAN FAUZI, 08 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menepis pertanyaan media untuk mendapatkan penjelasannya mengenai perkataan ‘arwah’ terhadap calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sadini di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ahli Parlimen Muar itu bagaimanapun berkata beliau memberikan ceramah di Tanjung Piai selama setengah jam tentang isu-isu di situ namun apa yang dibangkitkan media hanyalah ucapan 10 saat tentang kesilapan beliau kepada Karmaine.

“Ucapan saya 30 minit dan apa yang diambil 10 saat sahaja. Banyak perkara yang saya tekankan yang saya rasa jauh lebih penting,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Enggan mengulas lanjut, Ketua Pemuda PH itu lantas membangkitkan isu Wee Jeck Seng yang tidak memanfaatkan tempoh dua penggal sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai dahulu bagi mengetengahkan isu-isu rakyat di Parlimen.

Menurut beliau, dalam tempoh setahun, Jeck Seng hanya mengambil masa kira-kira 9 minit untuk mengetengahkan isu-isu rakyat di kawasan beliau kepada Parlimen.

“Datuk Wee Jeck Seng walaupun dua atau tiga penggal sebagai ahli Parlimen tetapi kehadiran dia di Parlimen sangat mengecewakan dan dia tidak bicara mengenai isu rakyat dengan kerap.

“Sangat pendek masanya cuma 9 minit dia bicara isu rakyat di Parlimen. Selalunya Menteri pun dia akan cakap jauh lebih banyak termasuklah timbalan menteri,” dedah Syed Saddiq.

Sewaktu berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sawah pada Jumaat lalu, Syed Saddiq dilihat tersasul memanggil Karmaine sebagai ‘Arwah Haji Karmaine’.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, yang mewakili PH, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRK ini, Karmaine berdepan pertandingan enam penjuru, melawan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar. -MalaysiaGazette