Tun Dr. Mahathir Mohamad

PONTIAN – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan amanat kepada  jentera Pakatan Harapan (PH) supaya terus bekerja kuat hingga saat akhir sebelum menjelangnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang berlangsung Sabtu ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH mahu agar jentera parti itu dapat menggunakan masa yang berbaki tiga hari untuk melakukan gerak kerja dengan sebaik mungkin.

“Tidak ada isu, yang penting anggota polling perlu ditingkatkan dan yang akhirnya jangan melakukan kesilapan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas pertemuan tersebut.

Dr Mahathir petang tadi mengadakan pertemuan dengan semua 27 ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) PH di sebuah hotel di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijadual menyampaikan ceramah Meja PH, di tapak Terminal Bas, Kukup di sini malam ini.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad berjalan keluar selepas selesai mengadakan perjumpaan dengan Ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Hotel Aloha, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2019

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahaya berkata, Dr Mahathir mahu semua jentera parti mempertahankan negeri Johor sebagai negeri yang terus dapat dikuasai PH dan tidak boleh alpa dalam setiap tindakan sepanjang kempen yang sedang berjalan pada masa ini.

Dr Mahathir turut memberitahu, mereka perlu ingat bahawa kerajaan Persekutuan ditadbir oleh PH manakala, negeri Johor juga turut berada dibawah naungan kerajaan yang sama.

“Jadi, Tun Mahathir mengingatkan agar mereka tidak sesekali leka dalam apa jua keadaan kerana penentuannya belum berakhir,” ujarnya.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) semasa mengadakan perjumpaan dengan Ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Hotel Aloha, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2019

Dr Mahathir dijangka menyertai program sarapan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di Pekan Nanas pagi esok.

Beliau turut dijangka menghadiri dialog bersama penjawat awam Johor mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Senai, di sini, sebelum pulang ke ibu negara. – MalaysiaGazette