Akmal Nasir
Akmal Nasir

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir berkata sayap PKR itu memecahkan tradisi perasmian Kongres mereka disebabkan kapasiti Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menurut beliau, keputusan itu diputuskan oleh kepimpinan AMK pada mesyuarat pada 20 Oktober lalu.

“Datuk Seri Dr Wan Azizah adalah Timbalan Perdana Menteri. Tradisi menjemput Timbalan Presiden merasmikan kongres sayap sama seperti yang dibuat UMNO. Tapi dalam UMNO, Timbalan Presiden juga adalah Timbalan Perdana Menteri, jadi dalam kes ini Wan Azizah adalah Timbalan Perdana Menteri, apa salahnya,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Awal hari ini, 21 daripada 25 Ketua AMK Pusat membantah tindakan meminggirkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk merasmikan kongres tahunan mereka 6 Disember depan.

Mengikut tradisi, kongres sayap pemuda parti itu dirasmikan timbalan presiden, dan Azmin Ali, seperti lazimnya dijadualkan merasmikannya.

Dalam pada itu, Akmal berkata, penolakan terhadap Wan Azizah untuk merasmikan kongres itu tidak mewakili kesemua pimpinan AMK.

Ujarnya, laporan mesyuarat itu sudah sampai ke pengetahuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi.

“Saya telah laporkan keputusan ini kepada Biro Politik Pusat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar.

“Jadi perkara ini telah dimaklumkan secara rasmi dan kenyataan Datuk Seri Saifuddin semalam dengan jelas menyatakan ini tanggungjawab AMK jadi kita terpaksa memikul tanggungjawab ini dengan sebaiknya,” katanya lagi.

Hari ini 21 daripada 25 Ketua AMK Pusat berkata tindakan membatalkan jemputan kepada Azmin untuk merasmikan Kongres Nasional AMK hanya mencermin dan menguatkan desas-desus bahawa parti itu sedang dilanda krisis kepimpinan. -MalaysiaGazette