Reaksi bersahaja Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu melihat potrait gambarnya ketika hadir pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kukup, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2019.

KUKUP – Pengundi khususnya penduduk di Tanjung Piai dinasihati supaya tidak membuat keputusan dalam keadaan beremosi dan marah kerana ia hanya akan merugikan diri sendiri,

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr, Mahathir Mohamad berkata, keputusan yang diambil dalam keadaan marah terhadap kerajaan akan memberi kesan ke atas pembangunan Tanjung Piai

“Jangan disebabkan marah dan beremosi kononnya kerajaan tidak membuat perkara yang baik dalam masa 18 bulan memerintah seperti yang didakwa pembangkang. Itu tidak benar. Kita nak undi untuk kebaikan diri kita.

“Kalau kita undi orang yang tak boleh berkhidmat, kita yang rugi. Dia tak rugi sebab Yang Berhormat dapat duit tapi kita undi dia kita dapat apa? Pembangunan jauh sekali.

“Hanya kerajaan sahaja boleh memberi bantuan kepada rakyat, jadi pengundi perlu pilih calon PH, Karmaine Sardini demi kebaikan bersama.

“Dengan adanya PRK ini, untuk jaga kepentingan Tanjung Piai kita akan tentukan calon rapat dengan kerajaan akan dipilih supaya dapat wakili kita kepada kerajaan,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana PH yang dihadiri oleh lebih 3,000 orang di Terminal Bas Kukup Laut malam tadi.

Turut hadir, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Calon PH, Karmaine Sardini.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Maaysia (PPBM) berkata, beliau terpegun dengan kehadiran luar biasa 8,000 orang pada ceramah itu.

Katanya, semua pembangunan yang diusahakan kerajaan memerlukan tempoh masa lima tahun untuk mengubati penyakit kronik yang ditinggalkan kerajaan lama.

Menurutnya, ia sama seperti merawat penyakit jantung yang mengambil masa lama untuk sembuh sepenuhnya yang mana sedikit masa diperlukan bukan untuk beliau tetapi untuk parti memulihkan negara sepenuhnya.

“Semua ini kita akan buat dengan syarat, ini adalah tempat yang bergantung kepada kerajaan, dan tidak menolak calon kerajaan parti kerajaan.

“Dulu parti lawan, sekarang parti kerajaan. Jangan lupa. Kerajaan saja boleh beri bantuan kepada rakyat. Kerajaan saja yang mampu menggubal undang undang buat dasar dan sebagainya, parti lawan dalam pilihan raya kecil tak boleh buat apa pun,” katanya.

Malah jelasnya kerajaan memang berniat bantu rakyat dengan pelbagai rancangan untuk bangunkan negara dengan cara agihan kekayaan itu antara bandar dan luar bandar.

“Kita tak ada niat sama sekali walaupun ada tuduhan, kita bukan nak perkayakan diri.

“Saya dapat peluang 22 tahun nak jadi kaya, sampai sekarang tak kaya. Ini kerana kita berniat untuk berkhidmat. kalau negara maju, setiap rakyat akan mendapat manfaat.

“Ini perkara sebenar, sebab itu saya sebut tadi pembangunan saya lihat di Johor ini berbanding kita lihat Pontian umpamanya perlu jadi bandar yang canggih,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dulu sebelum pru14 mahathir dan ph juga yg bankitkan emosi rakyat supaya benci pada bn n umno khasnya. Bila sekarang rakyat beremosi kerana ternyata ph kaki kencing tak perlulah nak ingatkan rakyat semula. Damage has been done so rugi tetap rugi. Hadapla jugak dalam dua tiga tahun lagi saja.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.