Dr. Wee Jeck Seng

PONTIAN – MCA hari ini mempersoalkan tanggapan Ketua DAP Cawangan Victoria Utara, Labuan, Jeremy Wong Kwan Kit apabila menganggap penyewaan sebuah pejabat sebesar 3,000 kaki persegi oleh Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) sebagai satu pembaziran.

Jurucakap MCA, Chan Quin Er berkata, LPA memerlukan sebuah pejabat kecil di ibu negara bagi memudahkan urusan perniagaan, perdagangan dan pentadbiran.

Katanya, langkah untuk menyewa itu diputuskan selepas LPA dipisahkan daripada kerajaan Barisan Nasional pada 2016.

“Ini bukan persoalan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

“Kami tidak pasti mengapa Jeremy berpendapat bahawa sebuah pejabat sebesar 3,000 kaki persegi di Kuala Lumpur dianggap sebagai satu pembaziran.

“Namun ia harus ditekankan bahawa kebanyakan pengurusan pelabuhan dan syarikat perkapalan di seluruh negara juga memiliki pejabat di Kuala Lumpur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dengan memberikan contoh, Westport di Port Klang memiliki sebuah pejabat di Mont Kiara mankala Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor juga memiliki sebuah pejabat di Menara Tabung Haji Perdana di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Ujarnya, tidak boleh dinafikan bahawa Kuala Lumpur adalah pusat perdagangan, perniagaan dan kewangan Malaysia dan atas sebab yang sama, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) turut memiliki sebuah pejabat di KL Sentral, yang berdekatan dengan Bangsar South.

Jelas beliau, alasan itu juga diberi oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengambil keputusan membuka sebuah pejabat untuk Institut Penang di Kuala Lumpur walaupun Pulau Pinang terletak 360 kilometer dari Kuala Lumpur.

“Oleh itu, isu ini mengambil kira pulangan pelaburan, kecekapan dan pembangunan perniagaan.

“Ini berbeza pula dengan pemikiran ahli-ahli politik Pakatan Harapan yang kurang bijak, kurang matang dan berpandangan singkat hingga telah menyebabkan ekonomi negara semakin merosot sejak setahun setengah lalu.

Katanya lagi, mana-mana syarikat perkapalan atau pelanggan baru di Kuala Lumpur yang berjaya ditarik oleh LPA akan tentu membawa kepada keuntungan dan pulangan pelaburan yang lebih tinggi berbanding kos sewaan pejabat di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Kwan Wit didakwa membuat serangan politik ke atas calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng apabila mempersoalkan tindakannya mengubah suai pejabat LPA yang pernah dipengerusikannya dengan menggunakan kos mencecah lebih RM300,000.

Malah, Kwan Wit turut menyifatkan Jeck Seng telah melakukan pembaziran wang rakyat apabila menyewa bangunan tersebut dengan bayaran bernilai lebih RM526,000.

Isu itu berbangkit selepas kempen PRK Tanjung Piai berbaki 48 jam dan Jeck Seng merupakan calon BN yang bertanding pada pilihan raya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast