Tian Soon (kanan) menunjukkan papan tanda kempen yang didakwa mempunyai mesej negatif dan mengelirukan orang ramai. Foto MCA

PEKAN NANAS – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa bertindak segera menurunkan papan tanda kempen yang didakwa mempunyai mesej negatif dan mengelirukan orang ramai.

Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, papan tanda berkenaan juga secara jelas dilihat telah melanggar syarat kempen yang ditetapkan oleh SPR.

Katanya, beberapa kain rentang yang memaparkan mesej serupa turut dikesan dipamerkan di beberapa lokasi.

“Kami kesan ada dua billboard yang didirikan di sekitar kawasan ini. Termasuk beberapa kain rentang (banner) di beberapa lokasi.

“Kami dah laporkan dan pegawai SPR yang turun mengesahkan billboard berkenaan memang salah kerana menggunakan gambar orang yang bukan pemimpin parti.

“Pihak SPR juga telah membuat keputusan untuk menurunkan billboard berkenaan, tetapi malangnya, perlu tunggu kerana alasannya SPR kekurangan kakitangan (petugas),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Pemuda MCA Bahagian Tanjung Piai, Heng Zhi Li.

Difahamkan, antara mesej yang tertera pada papan berkenaan iaitu seperti Jeck Seng menang, Najib Kembali.

Tian Soon turut mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terbabit dalam pemasangan billboard berkenaan.

Katanya, penguatkuasa SPR diminta agar tidak bersifat berat sebelah dalam menangani perkara tersebut.

“Kami harap SPR dapat bertindak segera terhadap kewujudan billboard dan kain rentang ini.

“Ternyata perbuatan ini sangat tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Sementara itu, SPR ketika dihubungi enggan mengulas berhubung perkara yang dibangkitkan. – MalaysiaGazette