Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali mendakwa tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) membatalkan jemputan perasmian kongres Pemuda dan Wanita parti berkenaan adalah bertujuan untuk menutup mulutnya daripada menegur kepimpinan sedia ada.

Jelasnya, beliau telah menerima surat jemputan tersebut daripada Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan sudah pun membalasnya namun jemputan berkenaan dibatalkan secara tiba-tiba.

Azmin yakin, tindakan AMK itu didalangi oleh pihak-pihak tertentu.

“Tradisi ini sudah diamalkan sejak bertahun-tahun.

“Timbalan presiden rasmikan kongres wanita dan pemuda manakala presiden pula rasmikan kongres.

“Ini bukan mengenai saya tetapi mengenai kedudukan presiden dan timbalan presiden.

“Apakah mereka tidak benarkan saya bersuara dalam kongres?

“Ini adalah percubaan untuk menutup mulut saya daripada menegur kepimpinan parti sedia ada.

“Saya yakin Ketua AMK tidak berani melakukan perkara seperti ini jika tiada tangan-tangan ghaib di belakangnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Siri Forum Menteri 2019 yang dianjurkan oleh Institut Tadbir Negara, di sini hari ini.

Buat pertama kalinya, kongres tahunan AMK akan dirasmikan oleh penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri, 6 Disember ini.

Ini kerana secara tradisinya, kongres sayap pemuda parti itu akan dirasmikan oleh timbalan presiden.

Menurut Azmin, insiden terbaharu ini adalah satu perkembangan yang tidak sihat dan beliau mengakui ada pihak yang cuba melemahkan perjuangan dalam parti.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan sebarang individu atau kumpulan tertentu yang cuba melemahkan parti berkenaan.

Tambahnya, beliau menyerahkan kepada ahli-ahli parti untuk membuat pertimbangan sendiri.

“Bagi saya tidak mengapa. Biar ahli-ahli parti buat pertimbangan sendiri tetapi saya berpendapat ini sesuatu yang tidak sihat.

“Ini bukan cara untuk mengukuhkan parti tetapi untuk memecah belahkan parti,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Tradisi bukan bermakna satu kewajiban.
    Sebagai ahli parti, dulu saya sokong azmin apabila berhadapan dgn rafizi.
    Tapi dalam isu skrg saya rasa azmin patut cermin diri.
    Apa yg dia telah buat pada parti?
    Dia lebih besar atau parti lebih utama?

    Ingat ramai dari pada pejuang2 parti selama ini berjuang tanpa mengharapkan apa2 habuan.
    Bahkan keluar wang ringgit sendiri semata-mata nak naik kan nama pkr.

    Jadi azmin sepatutnya bersyukur.
    Pkr telah memberikan nya segala-galanya.

    Jadi kembali lah kepada perjuangan sebenar.
    Bukan sbb kerana telah ada jawatan.

Comments are closed.