Recep Tayyip Erdogan . foto Agensi

ISTANBIL – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata Washington melakukan kesilapan apabila mencadangkan Ankara meninggalkan pembelian sistem pertahanan, S-400, buatan Rusia dan menyifatkan ia sebagai pelanggaran kedaulatan, menurut media Turki.

Pada pertemuan di White House Rabu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa Erdogan meninggalkan sistem S-400 yang mula tiba di Turki pada Julai lalu walaupun menerima ancaman daripada Washington.

Ditanya samada Turki akan mengkaji untuk tidak mengaktifkan S-400, Erdogan memberitahu wartawan bahawa Ankara tidak akan memudaratkan hubungannya dengan Rusia.

Beliau juga menolak pilihan untuk membeli sistem pertahanan, Patriot, buatan AS, lapor Reuters.

“Kami berkata, ‘Kami melihat cadangan untuk meninggalkan S-400 dan membeli Patriot sebagai pelanggaran hak kedaulatan dan jelas mendapatinya salah,” katanya yang dipetik wartawan.

“Ini adalah ikatan erat: kami mempunyai beberapa usaha strategi dengan Rusia,” kata Erdogan sambil menambah saluran paip gas asli Turkstream yang bermula di Rusia melintasi Turki akan mula melakukan penghantaran gas ke Eropah.

“Saya tidak boleh meninggalkan S-400 kerana Patriot. Jika anda mahu memberi kami Patriot berikan kepada mereka,” katanya.

Berikutan hubungan baik antara kedua-dua presiden itu, setakat ini Turki tidak dikenakan sekatan oleh AS kerana pemilikan sistem S-400.

Bagaimanapun AS telah mengharamkan penjualan pesawat pejuang, F-35, kepada Ankara dan menyingkirkannya daripada program menghasilkan pesawat perang yang disertai pelbagai negara. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast