Papan kempen dengan kata-kata "Jack Seng Menang, Najib kembali" berserta perbualan rekaan mencetus perbalahan antara DAP dan MCA di Tanjung Piai.

TANJUNG PIAI – Kemunculan papan kempen dengan gambar Datuk Seri Najib Tun Razak mencetuskan perbalahan antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) kerana bekas Perdana Menteri itu bukan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dan penggunaan gambarnya melanggar peraturan.

Menariknya, gambar Najib itu bukannya dipasang oleh BN sebaliknya digunakan PH untuk menyindir calon BN, Datuk Seri Wee Jack Seng yang memanggil Najib sebagai “bosku” dalam perbualan rekaan.

Dengan kata-kata “Jack Seng menang, Najib kembali”, papan kempen itu dipercayai digunakan PH untuk membawa mesej kemenangan calon BN hanya akan membuka jalan kepada Najib untuk kembali berkuasa.

Papan tanda itu bagaimanapun menimbulkan tidak puas hati Pemuda MCA yang mengadu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, SPR telah menghantar pegawai untuk memeriksa, seterusnya mengenal pasti papan tanda itu melanggar peraturan, tetapi tidak menanggalkannya.

“Sebagai entiti awam, SPR tidak boleh berat sebelah. Parti pemerintah pula tidak harus membuli calon lain,” katanya dipetik China Press.

Pemuda MCA Tanjung Piai juga menawarkan diri untuk membantu SPR menanggalkan papan kempen kontroversi yang ada memandangkan SPR memberi alasan kekurangan tenaga kerja untuk menanggalkannya.

Sementara itu, Sinchew Daily melaporkan, DAP telah memadamkan perbualan rekaan dalam papan kempen kontroversi itu.

Pemuda Sosialis DAP Kulai mempertahankan kandungan papan kempen tersebut, tetapi bersetuju memadamkan perbualan rekaan “bosku” demi “menjaga hati” MCA. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Tak habis2 lah buat fitnah . Kalau hendak menang pun biar lah cara sehat. Rakyat tahu siapa yang boleh menjalankan tanggung jawab ditanjung PIAI.

  2. BN boleh jer letak gambar Karmaine berlatarbelakangkan dua beranak Lim tu…haha..takpayah tulis apa2 pun…Rakyat semua dah tahu….

Comments are closed.