TANJUNG PIAI- Kehadiran lautan manusia dalam ceramah Muafakat Nasional oleh Barisan Nasional (BN) di Pekan Nanas di sini malam semalam dilihat tidak akan memberi impak pada polar pengundian esok.

Kata calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, jumlah kehadiran tersebut tidak menggugat langsung kempen dan jentera pilihan rayanya.

“Tak ada (impak) Insha Allah. Kita ada matlamat kita. Kita nak memperjuangkan nasib penduduk di sini seperti mana yang dimahukan oleh Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) kita.

“Malam tadi kita pun (PH) ada perjumpaan dengan ramai masyarakat India dan Cina,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui sebaik sahaja  selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Noh Gadut di sini hari ini.

Di Pekan Nanas malam tadi menyaksikan ribuan hadir untuk mendengar amanat utama daripada beberapa orang pemimpin kanan BN termasuk dari Pas.

Antara yang menyampaikan ucapan adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan serta Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, Karmaine memberitahu, menjelang berakhirnya tempoh kempen tengah malam ini, beliau dan jenteranya akan memperhebatkan usaha untuk pergi dari rumah ke rumah.

Tambahnya, ia akan turut meliputi lawatan ke serata pusat daerah mengundi (PDM).

” Malam ini kita ada ceramah terakhir yang akan dibuat kawasan Tambak, datanglah beramai-ramai kerana para pemimpin PH akan menjelaskan banyak isu-isu yang timbul.

” Jangan lupa memilih PH pada hari Sabtu ini kerana segala permasalahan penduduk akan saya bawa pada pengetahuan pihak kerajaan sekiranya saya dipilih,” katanya. – MalaysiaGazette