Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal dalam landasan yang kukuh.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana pertumbuhan ekonomi negara masih berhadapan dengan risiko ketidaktentuan ekonomi dan kewangan global serta sektor berkaitan komoditi.

“Kerajaan menjangkakan sasaran pertumbuhan ekonomi pada tahun 2019 sebanyak 4.7 peratus boleh dicapai berdasarkan prestasi petunjuk ekonomi utama seperti kadar pertumbuhan Indeks Pelopor (LI) yang menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan dalam fasa pengembangan bagi tempoh empat hingga enam bulan ke hadapan.

“Purchasing Manager’s Index (PMI) untuk sektor pembuatan juga telah meningkat kepada 49.3 mata pada bulan Oktober 2019, iaitu paras tertinggi dalam tempoh enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keputusan Bank Negara Malaysia untuk menurunkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 50 mata asas kepada 3.00 peratus telah berkuatkuasa pada 16 November 2019.

Langkah tersebut katanya, diambil untuk memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik bagi menyokong pasaran kewangan berfungsi dengan cekap seterusnya menggalakkan aktiviti ekonomi dalam negara.

Justeru, pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh aktiviti permintaan domestik yang menyumbang lebih 90 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pertumbuhan akan terus diterajui oleh penggunaan swasta terutamanya aktiviti berkaitan pelancongan domestik dan jualan akhir tahun sempena cuti sekolah, tambahnya.

Hari ini Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus mengumumkan pertumbuhan sederhana ekonomi Malaysia pada suku ketiga adalah pada kadar 4.4 peratus.

Pertumbuhan terus disokong oleh aktiviti domestik terutamanya penggunaan swasta.

Bagaimanapun, persekitaran ekonomi dan kewangan global masih tidak menentu dan mencabar.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast