Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia mengeluarkan amaran tsunami berikutan gempa kuat itu, yang pada mulanya dicatatkan bacaan 7.4 pada skala Richter.

JAKARTA – Gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter menggoncang kepulauan Maluku Utara dan Sulawesi Utara, Indonesia, jam 1.17 pagi waktu Indonesia Timur (12.17 malam waktu Malaysia).

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia mengeluarkan amaran tsunami berikutan gempa kuat itu, yang pada mulanya dicatatkan bacaan 7.4 pada skala Richter.

Bagaimanapun amaran tsunami itu ditamatkan pada jam 3.45 pagi waktu Indonesia Timur (2.45 pagi waktu Malaysia).

Menurut BMKG, gempa 7.1 pada skala Richter itu berpusat di 130km barat laut Jailolo-Maluku Utara di kedalaman 10km di Laut Maluku, dan diikuti 26 gempa susulan berukuran kurang daripada 5.9 pada skala Richter yang berterusan berlaku sehingga jam 2.55 pagi (waktu Indonesia Timur).

Gegaran gempa itu turut menggoncang Ternate, Maluku, Menado dan Bitung, menyebabkan penduduk di kawasan terbabit, bertindak keluar dari rumah dan berpindah ke kawasan tinggi.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta turut meminta rakyat Malaysia yang berada di kawasan itu, mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

Setakat pagi ini belum terdapat sebarang maklumat berkaitan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast