Mohd Nor Hamzah

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyeru pengundi di Tanjung Piai terus bangkit memberikan maklum balas terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini yang gagal membawa perubahan lebih baik untuk agama, bangsa dan negara sejak memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Ketua Penerangannya, Mohd Nor Hamzah berkata, hasil kajian oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dengan kerjasama sekumpulan penyelidik dari sebuah institusi pengajian awam tempatan terhadap kecenderungan pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai menunjukkan calon Barisan Nasional (BN) hasil Muafakat Nasional dijangka menang.

Kata beliau, ini merupakan petanda kerajaan PH sudah tidak relevan kerana banyak sangat kepincangan dalam urus tadbir dan pergolakan dalaman yang tidak dapat disembunyikan lagi.

Beliau berkata, menerusi kajian itu, jelas menunjukkan bagaimana rakyat tidak lagi menaruh keyakinan kepada kerajaan PH kerana gagal membawa sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat.

“Tambahan lagi kegagalan kerajaan PH melaksanakan pelbagai janji manis menerusi manifesto yang dicanangkan sewaktu kempen pada PRU 14 sebelum ini.

“Imej Muafakat Nasional lebih mendominasi suasana kempen di PRK Tanjung Piai kali ini walaupun calon dari BN ialah MCA,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Beliau berkata, DUPP mengharapkan rakyat Malaysia tidak lagi tertipu dengan permainan PH sebagaimana pada PRU 14 apabila parti itu mengaburi kecenderungan rakyat dengan janji manis menerusi manifesto, tetapi gagal dan tidak berupaya melaksanakannya.

DUPP juga menegaskan pemilihan calon dalam PRK mahupun PRU asasnya mestilah keupayaan dan kemampuan calon itu melaksanakan tugasan dan tanggungjawab serta bukan anti Islam. – MalaysiaGazette