Tony Pua

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua mencadangkan  Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengambil kursus kewangan gara-gara Ketua Pemuda UMNO itu tidak dapat membezakan nilai aset dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sesuatu projek.

GDV merupakan angka yang merangkumi segala kos yang diperlukan untuk membangunkan sesuatu projek manakala nilai aset ataupun keuntungan yang boleh diperolehi daripada projek tersebut, katanya.

Berikutan tidak memahami istilah kewangan, Tony berkata, Asyraf menyalahgunakan angka-angka untuk mengelirukan rakyat tentang projek Tun Razak Exchange (TRX) dan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Menurutnya, nilai RM40 bilion yang selalu dikaitkan dengan projek TRX ialah GDV manakala aset tanahnya kawasan kewangan baharu itu yang bernilai RM2.8 bilion sahaja menerusi penilaian C.H. Williams Talhar & Wong pada 29 Julai 2015.

“Ini jauh berbeza dengan nilai aset ataupun keuntungan yang boleh diperolehi daripada projek tersebut

“Tambahan lagi, nilai (aset) ini adalah sebelum mengambil kira pinjaman sebanyak RM800 juta yang berkaitan dengan projek tersebut.

“Ia juga tidak mengambil kira pendahuluan sebanyak RM2.8 bilion yang diberikan oleh pihak kerajaan untuk menyelamatkan projek TRX yang nyaris terbengkalai di bawah pemerintahan Barisan Nasional,” katanya yang juga Setiausaha Publisiti DAP menerusi kenyataan.

Pada Selasa lalu, Asyraf mempersoalkan tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang tidak menjual semua aset atau harta 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) untuk menyelesaikan masalah hutang 1MDB.

Asyraf mendakwa nilai tanah di TRX yang dimulakan oleh dana 1MDB kini bernilai RM40 bilion.

Menurut Tony, penjualan aset tanah TRX tidak akan dapat menyelesaikan masalah skandal hutang 1MDB sebanyak RM50 bilion.

Malah jelas beliau, penilaian aset TRX sebanyak RM2.8 bilion itu juga tidak mengambil kira bahawa tapak projek itu dijual kerajaan kepada 1MDB pada harga yang cukup rendah, iaitu RM230 juta atau RM75 sekaki persegi.

“Maksudnya, aset TRX ini merupakan aset yang dikurniakan oleh
pihak kerajaan kepada 1MDB, dan bukannya keuntungan yang diperolehi oleh 1MDB melalui usaha mereka sendiri,” ujar beliau.

Oleh itu, katanya, jika sekalipun tanah TRX dapat dijual dengan harga RM40 bilion, seperti apa yang didesak oleh Asyraf, ia merupakan penjualan tanah milik kerajaan dan rakyat Malaysia untuk membayar hutang 1MDB. – MalaysiaGazette