Dr. Sahruddin Jamal.

PONTIAN – Kerja keras jentera Pakatan Harapan (PH) selama 15 hari sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai selesai hari ini dan keputusannya kini terserah kepada ketentuan  tuhan.

Itu reaksi Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

“Kita telah berusaha dan bekerja. Akhir sekali, kita serahkan kepada Allah SWT,” katanya kepada wartawan selepas mengadakan lawatan di Pusat Media PRK Tanjung Piai di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai hari pembuangan undi sempena PRK Parlimen Tanjung Piai yang akan berlangsung esok.

Sahruddin berkata, setakat ini semua pihak khususnya jentera pilihan raya kepada calon yang bertanding telah melaksanakan tugas dengan baik.

Malah kata beliau, pihaknya tidak mengalami tekanan menjelang hari pengundian dan menyifatkan segalanya sebagai tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan bersama.

“Saya amat berpuas hati jentera Tanjung Piai. Dari negeri-negeri pun banyak yang turun. Terima kasih juga kepada jentera angkat yang membantu kempen PH pada PRK kali ini.

“Kita jangan lupa, semua ini tanggung jawab dan amanah. Jangan lupa,” ujarnya.

Sementara itu Sahruddin yang juga Pengarah Jentera Pakatan Harapan (PH) bagi PRK yang sama berharap agar semua pengundi akan menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi lebih awal esok.

Ujarnya, undi mereka kali ini dilihat sangat penting bagi menentukan calon yang paling sesuai bagi menggantikan bekas wakil rakyat dahulu, Allahyarham Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik.

“Harapan saya, semua jentera parti kerajaan dapat bekerja semaksimum mungkin untuk berikan penerangan kepada penduduk di Tanjung Piai mengenai betapa pentingnya untuk mengundi calon PH pada PRK kali ini.

“Semoga semua penduduk turun untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing esok.. Kepada semua penyokong parti bertanding, elakkanlah provokasi yang boleh menyebabkan konflik antara sesama parti.

“Kita di Malaysia ini mengamalkan demokrasi. Masing-masing ada hak dan tanggungjawab. Yang penting, bagaimana kita dapat menjalankan tanggungjawab itu,” tambah beliau. – MalaysiaGazette