KUALA LUMPUR – Kecik mengumumkan meninggalkan Kristal setelah setahun bersama-sama kumpulan itu.

Kecil membuat keputusan untuk bergerak solo menyedari tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai vokalis kumpulan itu.

“Faktor utama saya keluar dari Kristal kerana saya merasakan tidak boleh lagi menggalas tanggungjawab sebagai vokal utama untuk Kumpulan Kristal dan tak mahu Kristal jatuh merudum disebabkan saya.

“Mungkin saya masih lagi mencari cari jiwa saya. Saya bukanlah seorang penyanyi rock. Saya potong rambut pun bukan disebabkan nak tunjuk saya putus asa.

“Cuma saya nak bagitau jiwa saya dah tak ada kat situ. Saya memohon maaf kepada semua ahli-ahli Kristal dan pihak-pihak syarikat yang selama ini banyak membantu saya.

“Saya akan aktif semula sebagai penyanyi solo atau berkumpulan selepas ini jika diberi peluang oleh industri muzik yang saya cintai,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Kecik, keputusan untuk meninggalkan Kristal sudah lama difikirkan lantaran dia sendiri tidak mempunyai jiwa sebagai seorang rockers.

Oleh itu, dia tidak mahu terus memaksa dirinya dan memikirkan keluar daripada kumpulan itu sebagai jalan terbaik.

“Sebenarnya saya dah lama nak beritahu bahawa jiwa saya tak masuk dengan Kristal. Saya bukan seorang rockers, saya cuba dan cuba tapi tetap tak dapat.

“Saya tak boleh buat benda yang saya tak cinta.

“Apa pun terima kasih kepada Rody, Acap, Kechiq, Pak Din, Mak Din, Niena, sebab banyak tolong Kecik selama Kecik menjadi penyanyi utama kumpulan Kristal,” jelasnya.

Memaklumkan ianya keputusan yang dibuat secara baik, hubungannya dengan anggota lain iaitu Rody, Kecik, Afifi dan Acap juga tidak pernah terjejas.

“Saya dan Kristal berpisah secara baik, kami tak bergaduh dan masih berkawan. Jangan risau walau apapun terjadi, kawan tetap kawan.

“Jangan buang kawan. Keputusan ini di buat untuk kebaikan kedua-dua belah pihak,” katanya lagi.

Kecik merupakan bekas anggota kumpulan Hyper Act, yang menyertai Kristal selepas Lan meninggalkan kumpulan.-MalaysiaGazette