PONTIAN – Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam menyampaikan pesanan agar pengundi yang akan keluar esok sama ada menyokongnya atau tidak berpegang teguh kepada prinsip rakyat Malaysia yang sayangkan negara.

Beliau berkata, pilihan raya yang akan berlangsung esok merupakan satu proses demokratik yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Bagaimanapun, beliau amat berharap agar pengundi-pengundi di Parlimen berkenaan dapat memberikan mandat kepadanya dan parti Gerakan untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.

“Tempoh berkempen 14 hari sudah berlalu. Dalam masa yang singkat ini kami telah menerima sambutan yang amat baik daripada penduduk-penduduk Tanmjung Piai.

“Tidak kira yang menyokong saya atau tidak, saya amat berterima kasih kepada semua atas kesudian untuk bertemu dengan saya.

“Namun demikian, saya berharap pengundi-pengundi akan memberi mandat kepada saya dan Gerakan untuk berkhidmat kepada semua penduduk di Tanjung Piaitidak kira Melayu, Cina atau India,” kata beliau menerusi amanat ringkasnya di Facebook.

Wendy berkata, beliau akan berusaha kuat untuk membawa suara rakyat ke Parlimen dan itu merupakan matlamatnya bertanding pada PRK berkenaan.

Ujarnya, beliau dan parti yang diwakilinya akan memastikan prinsip-prinsip yang penting sebagai rakyat Malaysia dapat ditegakkan dan diperjuangkan.

“Diharap kita mempunyai pekuang lagi pada masa akan datang. Saya berharap hari mengundi esok dapat berjalan dengan lancar dan hati-hati di atas jalan raya semasa perjalanan ke pusat mengundi,” ujarnya. – MalaysiaGazette