Hazrol Zainal menunjukkan jari berdakwat selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Raja, Pontian, Johor sempena PRK Tanjung Piai yang berlangsung hari ini. foto SYAFIQ AMBAK, 16 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Kekecewaan jurugambar MalaysiaGazette yang kecewa selepas terlepas peluang untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14, akhirnya terubat.

Pemuda berusia, 25, kelahiran Pekan Nanas itu akhirnya berpeluang memangkah kertas undi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai hari ini.

Hazrol Zainal yang balik bertugas sempena PRK Tanjung Piai, berpeluang mengundi sebentar tadi walaupun dia sibuk membuat liputan sejak awal pagi tadi.

Beliau berkata, semasa PRU lalu, dia bertugas membuat liputan di Parlimen Muar yang menyaksikan Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menentang calon Barisan Nasional, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Jurugambar Malaysia Gazette, Hazrol Zainal memasukkan kertas undi ke dalam tong selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Raja, Pontian, Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 NOVEMBER 2019

“Selepas selesai tugas pukul 2 petang, saya merancang balik ke Pekan Nanas untuk mengundi di DUN itu dan juga Parlimen Tanjung Piai.

“Tetapi saya sampai di tol Kulai sekitar pukul 5 petang kerana jalan sesak menghala ke Pontian menyebabkan saya terpaksa akur tiada rezeki mengundi,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Raja.

Anak bongsu daripada enam beradik itu membuang undi pukul 2 petang tadi.

“Saya gembira sebab berpeluang bertugas di Parlimen Tanjung Piai dan sudah merancang awal untuk mengundi dalam apa juga keadaan sekali pun.

“Saya dapat juga peluang kali pertama mengundi,” katanya sambil tersenyum. – MalaysiaGazette