Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini menunjukkan dakwat kekal pada jarinya untuk membuang undi pada hari pengundian sempena ilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di SK Telok Kerang, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2019.

KUKUP – Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini telah selesai mengundi di Pusat Daerah Mengundi Sekolah Kebangsaan Telok Kerang Kampung Telok Kerang Pontian pagi tadi.

Beliau tiba ke pusat mengundi pukul 7.52 pagi tadi sebelum menuju ke kaunter semakan daftar pengundi.

Calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu kemudian meluangkan masa bermesra dengan lebih 30 orang pengundi terdiri daripada muda dan warga tua yang menunggu di zon menunggu yang disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tepat 8 pagi proses mengundi telah dimulakan dan beliau telah menyemak nama dan nombor kad pengenalannya yang dibacakan oleh petugas SPR di saluran dua mengundi.

Karmaine kemudian mencelup jari pada dakwat yang disediakan dan menuju ke saluran yang disediakan dengan kertas undi.

Tepat pukul 8.04 pagi beliau telah memasukkan kertas undi ke dalam peti undi yang disediakan di bahagian tengah bilik tersebut.

Beliau yang ditemui melahirkan rasa berdebar ketika mengundi sebentar tadi.

“Saya rasa sangat berdebarlah, terima kasih semua,” katanya tanpa mengulas lebih lanjut dan beredar meninggalkan pusat mengundi sekitar 8.20 pagi tadi.

Suasana di luar sekolah pula agak berbeza apabila penyokong parti bertanding utama iaitu PH dan Barisan Nasional yang berkumpul di tepi jalan utama pada jarak 50 meter dari pusat mengundi masing masing bersorak hidup Pakatan!!; Hidup BN!!

Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini beramah mesra dengan penduduk semasa hadir untuk membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di SK Telok Kerang, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2019.Beberapa anggota polis yang terlibat mengawal keselamatan memerhatikan setiap tindak tanduk dan pergerakan pengundi untuk memastikan proses mengundi tidak terganggu dengan insiden tidak diingini.

Ponduk panas atau ‘barung’ merayu undi kedua dua parti itu BN dan PH pada kedudukan bertentangan, bersorak dengan kuat sambil mengangkat bendera parti masing-masing.

Manakala penyokong PH pula mendukung poster calon PH sambil menunjukkan isyarat empat jari sebagai tanda merayu undi menyeru pengundi memangkah Karmaine yang merupakan calon nombor 4 atas kertas undi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Karmaine menerima saingan dari calon BN Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Berjasa Datuk Ir. Dr. Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas Ang Chuan Lock (logo Kunci) Faridah Aryani Abdul Ghaffar (logo kereta). – MalaysiaGazette