Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini melambaikan tangan kearah jurugambar selepas menerima kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Bilik Gerakan Utama Kampung Rambah, Johor. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Kebiasaannya sejurus selepas keputusan pilihan raya diumumkan, calon yang kalah enggan menemui pihak media namun tidak bagi calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini.

Beliau yang sememangnya amat merendah diri begitu tenang menerima keputusan yang tidak memihak kepadanya dan terbuka ketika ditemui media.

Karmaine muncul bilik mesyuarat khas di Bilik Gerakan Utama, Rambah, Kukup pada pukul 9.47 malam.

Terdahulu Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Timbalan Presiden Pakatan Harapan dan juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia meninggalkan bilik gerakan sambil memberitahu para wartawan bahawa kenyataan media akan menyusul bersama Menteri Besar Johor, Datuk Dr.Sahruddin Jamal pukul 9.25 malam.

Bercakap kepada pemberita Karmaine berkata, beliau redha dengan keputusan yang menyaksikan Parlimen Tanjung Piai kembali kepada Barisan Nasional dan Datuk Seri Wee Jeck Seng.

“Saya rasa orang Tanjung Piai dah buat pilihan. Kita kena terimalah dan kami akan membuat analisis bagaimana tentang keputusan itu (majoriti besar). Ya kita akan analisis,” katanya dengan senyuman yang biasa dilemparkan setiap hari.

Tambah beliau, dirinya masih merupakan Ketua Bahagian PPBM Tanjung Piai dan Ketua Pakatan Harapan Tanjung Piai.

Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini meluangkan masa berswafoto dengan pengamal media selepas menerima kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Bilik Gerakan Utama Kampung Rambah, Johor. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2019

Ditanya perasaannya tentang kekalahan itu, ringkas beliau menjawab: “Biasa, masih dalam parti dan akan terus berjuang.”

Beliau turut meminta para wartawan yang membuat liputan aktiviti kempennya selama ini supaya terus berhubung sebagai mengekalkan persahabatan yang terjalin dalam masa dua minggu ini.

Reaksi beliau menyebabkan segelintir wartawan memeluknya sambil meminta beliau menjaga kesihatan diri dan meneruskan perjuangan untuk masalah rakyat.

“Jangan lupa terus berhubung dengan saya,” katanya sempat bergambar kenangan bersama media. – MalaysiaGazette