Sebahagian petugas Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan persiapan terakhir pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Yunos Sulaiman, Pekan Nenas, Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Institut Integriti dan Strategik Terengganu (TSIS) menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Presiden Perti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kaji selidiknya adalah perang psikologi menjelang hari pengundian.

Kajian TSIS adalah objektif sepenuhnya dibuat oleh penyelidik yang neutral dan berwibawa untuk mengetahui kecenderungan semasa pengundi.

TSIS menyambut baik kenyataan Pengerusi Biro Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, bahawa kaji selidik TSIS mematuhi amalan saintifik daripada segi sampel dan persampelan terutama dengan menggunakan teknik pemilihan rawak.

TSIS hormat kepada beliau kerana menyebut ramalan TSIS sesuai untuk dibaca dan dijadikan panduan, namun pada masa yang sama TSIS kesal kerana beliau mempertikaikan ketepatannya kerana bilangan sampelnya yang dikatakan kecil iaitu 300, selain tiada petunjuk yang mengukur secara langsung kalah atau menang seseorang calon.

Sebaliknya, ia dikatakan hanya dibuat berdasarkan petanda seperti penolakan dan penerimaan pengundi kepada PH atau Muafakat Nasional (MN).

“TSIS ingin menegaskan bahawa sesuatu kaji selidik tidak memerlukan sampel yang besar untuk menghasilkan dapatan yang tepat, selagi mana pemilihan sampel itu dibuat secara saintifik, dan ini jelas terlihat dalam kaji selidik di Amerika Syarikat yang masih tepat walaupun responden hanyalah 500 atau 1,000 berbanding jumlah penduduk lebih 300 juta,” kata
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Wan Mat Sulaiman.

Malah, katanya, terdapat kaji selidik di Malaysia memberikan hasil yang salah walaupun menggunakan sampel yang besar.

Contoh mutakhir adalah dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) ke atas 1,142 pengundi dalam PRK Semenyih yang menghasilkan keputusan PH mengatasi Barisan Nasional (BN) dengan 9% apabila ia mendapat 46 peratus sokongan berbanding 37 peratus sokongan untuk BN.

Bagaimanapun, keputusan sebenar PRK Semenyih membuktikan dapatan kaji selidik IDE ini salah apabila BN menang selesa di sana.

Sekarang ini, menurut beliau, kaji selidik IDE dipuja-puji kerana kononnya lebih tepat dengan menggunakan sampel besar iaitu 1,200 responden.

“Sekali lagi diuar-uarkan oleh IDE bahawa PH mengatasi BN dengan 9 peratus bila ia mendapat 53 peratus sokongan berbanding 44 peratus sokongan untuk BN.

“Apa guna bilangan responden yang besar bila ia tidak bersifat representatif sekali gus menghasilkan dapatan yang salah?,” soal beliau.

Berhubung dengan dakwaan kaji selidik TSIS tidak tepat kerana tiada petunjuk yang mengukur secara langsung kalah atau menang seseorang calon, TSIS mengaku bahawa kaji selidiknya tidak bertanyakan secara rasmi responden soalan mengenai calon yang akan mereka undi.

TSIS berpendapat adalah tidak beretika untuk mana-mana kaji selidik meminta pengundi mendedahkan siapa calon yang akan mereka undi selaras dengan prinsip kerahsiaan undi, tegas Wan Mat.

Selain itu, dalam kaji selidik TSIS didapati bahawa petugas-petugas TSIS sering tidak mendapat kerjasama, malah dimarahi oleh responden bila soalan begini cuba diajukan oleh mereka.

TSIS juga berpendirian jawapan ke atas soalan petunjuk langsung begini tidak akan tepat kerana besar kemungkinan responden yang akan mengundi pembangkang khususnya tidak akan memberikan jawapan yang betul kerana takut dikenakan tindakan atau takut tidak mendapat bantuan.

Sebab itulah, jelas beliau, petunjuk seperti penolakan dan penerimaan pengundi bukan sahaja kepada pakatan tetapi juga kepada calon adalah indikasi paling jelas ke atas corak undian sebenar mereka.

Menurutnya, dalam kaji selidik TSIS juga sangat jelas pakatan dan calon yang diterima oleh pengundi ialah MN dan Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng.

Oleh itu, TSIS menyeru pemimpin politik, khususnya dari kerajaan, supaya memandang serius dan tidak memperlekehkan dapatan kaji selidik begini supaya mereka tidak berada dalam sindrom penafian dan sindrom syok sendiri.

“Akhirnya, kaji selidik TSIS mendapati majoriti pengundi dalam PRK Tanjung Piai bergelut dengan masalah kehidupan serius, tanpa mengira siapa yang menang wajarlah usaha digembleng bagi membantu mereka dengan ikhlas,” ujarnya. – MalaysiaGazette

PRK Tanjung Piai: PH atau BN? Baca dapatan kaji selidik TSIS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast