Calon-calon yang bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai (dari,kiri) Bebas, Ang Chuan Lock, Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa), Datuk Ir Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz, Pakatan Harapan, Karmaine Sardini, Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, Gerakan, Wendy Subramaniam dan Bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar bergambar sambil mengangkat tangan pada hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Satu badan penyelidik dari Pantai Timur mendapati Barisan Nasional (BN) akan merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam Pilihah Raya Kecil (PRK) pada Sabtu ini.

Hasil kajian itu mendapati Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, dijangka menang berdasarkan penolakan pengundi Tanjung Piai terhadap Pakatan Harapan (PH) serta penerimaan mereka kepada Muafakat Nasional (MN) dan calon BN itu sendiri.

“Petanda-petanda sangat jelas mengenai penolakan pengundi Tanjung Piai kepada PH boleh dilihat di dalam dapatan utama kaji selidik.

“51.0 peratus responden menyatakan PH tidak perlu terus diberi peluang untuk memerintah berbanding 28.3 peratus responden yang menyatakan PH perlu terus diberi peluang untuk memerintah,” demikan menurut Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Dr Wan Mat Sulaiman.

Kaji selidik bebas TSIS bersama sekumpulan penyelidik dari sebuah institusi pengajian awam tempatan bertajuk “Kaji Selidik Mengenai Kecenderungan Pengundi Dalam PRK Tanjung Piai” membabitkan 300 orang responden yang dipilih secara rawak.

Menurut Dr Wan Mat, terdapat enam tanda jelas mengenai penolakan pengundi Tanjung Piai kepada PH antaranya, 68.3 peratus responden menyatakan PH tidak berjaya melaksanakan manifestonya.

Katanya, 58 peratus responden pula menyatakan PH tidak berjaya memperbaiki kedudukan ekonomi negara sementara 57 peratus responden menyatakan kehidupan mereka tidak bertambah baik selepas PH memerintah sejak Mei tahun lalu.

Malah, lebih separuh responden menyatakan PH tidak berjaya menjaga kepentingan kaum serta menjaga keharmonian dan keselamatan negara.

Dalam hasil kajian itu juga mendapati 52 peratus responden menyatakan mereka senang dengan pendekatan Muafakat Nasional yang dibawa Pas-UMNO.

Jeck Seng turut mendapat 61 peratus undi dengan menyatakan beliau adalah calon yang paling dikenali, disenangi dan dihormati secara peribadi.

“50 peratus responden menyatakan kehadiran pemimpin tertinggi parti mereka tidak akan mempengaruhi undi mereka berbanding 26 peratus responden yang menyatakan kehadiran pemimpin tertinggi parti mereka akan mempengaruhi undi mereka,” demikan menurut hasil kajian itu lagi. -MalaysiaGazette