Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (kanan) pada Program Ceramah Perdana Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Pejabat Cabang PKR Tanjung Piai, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 11 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Wee Jeck Seng atas kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, hari ini.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada keputusan pengundi-pengundi di Parlimen Tanjung Piai yang mengembalikan kemenangan kepada BN.

“Bagi pihak Pakatan Harapan (PH) kami menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat keseluruhannya.

“Kita seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar daripada keputusan PRK ini.

“Kita juga harus berusaha menanam keyakinan rakyat terhadap dasar-dasar yang dibawa oleh PH dengan usaha positif melaksanakan janji-janji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BN menang besar di Tanjung Piai dengan perbezaan 15,086 undi, selepas Jeck Seng mendapat 25,466 undi.

Jeck Seng menewaskan calon PH, Karmaine Sardini yang hanya mendapat 10,380 undi.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam sekadar meraih 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz yang mewakili Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) mendapat 850 undi dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi dan 32 undi.

Daripada jumlah itu, 595 undi ditolak dan peratusan keluar mengundi selepas semua 27 pusat mengundi ditutup 5.30 petang tadi ialah 74.5 peratus. -MalaysiaGazette