Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng memasukkan kertas undi kedalam peti pada hari pengundian sempena ilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di SJK (C) Yu Ming, Pekan Nanas, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 16 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng berseloroh apabila mengatakan beliau telah mendapat dua undi.

Ketika ditemui media selepas membuang undi di Pusat Mengundi (PDM) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming 1, Jeck Seng berkata, undi itu diperoleh daripada beliau dan isterinya.

Katanya, beliau yakin akan mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi ekoran perkembangan positif selepas menemui mereka di pusat mengundi berkenaan.

“Saya sudah dapat dualah (undi). Tapi saya harap pengundi akan berikan saya peluang, itu saja yang saya boleh katakan,” katanya.

Calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng mencelup jari dalam dakwat pada hari pengundian sempena ilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di SJK (C) Yu Ming, Pekan Nanas, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 16 NOVEMBER 2019.

Jeck Seng dan isterinya tiba di PDM berkenaan pukul 7.40 pagi tadi sambil ditemani isterinya Lim Joo Hon.

Beliau hadir dengan memakai baju T warna kuning dan berseluar slack warna hitam dan berkasut sukan.

Beliau menjadi orang pertama membuang undi di saluran empat, manakala Joo Hon membuang undi di saluran enam.

Dalam pada itu semasa ditanya mengenai persediaannya untuk berhadapan dengan pilihan raya hari ini, Jeck Seng memberitahu, beliau bangun seawal pukul 5 pagi dan kemudian mandi serta pergi ke tokong untuk bersembahyang.

Calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di SJK (C) Yu Ming, Pekan Nanas, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 16 NOVEMBER 2019.

“Saya dah bangun pukul 5 pagi, lepas tu mandi dan bersiap untuk ke sini. Saya mahu jadi orang yang pertama (membuang undi).

” Saya pergi tokong untuk sembahyang dan ini perkara biasa yang saya lakukan setiap hari, ” ujarnya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU-14 Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS), dengan majoriti 524 undi.

PRK Tanjung Piai ini adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu. – MalaysiaGazette