Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng mengangkat tangan bersama Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid serta barisan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional dan PAS selepas beliau diumum menang bagi Pilihan Raya Kecil P. 165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 16 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi-pengundi Tanjung Piai yang memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN).

“Terima kasih juga kepada semua penggerak dan jentera UMNO, BN, rakan-rakan BN dan khususnya Pas, yang bertungkus lumus selama 2 minggu di Tg Piai.

“Saya amat menghargainya. Bagi pihak UMNO/ BN saya mengucapkan ribuan terima kasih..Terima kasih juga kepada penduduk-penduduk di Tg Piai yang melayan kami dengan penuh kemesraan.

“Jika yang terkasar bahasa dan perbuatan, maaf jua saya pinta…,” kata Timbalan Presiden UMNO itu yang gembira kerana BN menang selesa dengan majoriti yang amat baik.

Dalam PRK Parlimen Tanjung Piai, calon BN, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi, mengalahkan calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Karmaine Sardini.

Karmaine memperolehi sebanyak 10,380 undi manakala Wee Jeck Seng yang pernah menyandang kerusi itu selama dua penggal antara 2008 hingga 2018 memperolehi sebanyak 25,466 undi.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi diikuti Calon Berjasa Dr Badrulhisham Abdul Aziz 850 undi manakala dua calon bebas,dua calon bebas Dr Ang Chuan Lock yang juga pengetua pusat tuisyen serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar masing masing memperolehi 380 dan 32 undi. – MalaysiaGazette