Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun (kiri) melihat peti undi semasa membuat lawatan ke pusat mengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Yunos Sulaiman, Pekan Nenas, Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam kecewa kerana masih terdapat jentera yang  meraih undi berdekatan pusat mengundi mengibar bendera serta memakai baju berlogokan parti.

Beliau mendakwa kejadian itu disaksikan sendiri ketika meninjau Pusat Mengundi (PDM) di Sekolah Menengah Dato Sulaiman Yunos, di sini.

Perkara sama katanya, turut berlaku di PDM Yu Ming 1, dengan kehadiran ramai jentera yang melakukan perbuatan serupa.

Malah beliau mendakwa, perkara itu turut disaksikan anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya hairan bagaimana mereka itu semua dibenarkan untuk berada di pusat mengundi dengan cara begitu walaupun amaran telah diberi oleh SPR sebelum ini.

” Saya kecewa dengan perkara ini seolah-olah tidak ada pemantauan dibuat oleh pihak berwajib,” katanya ketika ditemui di PDM Yu Ming di sini, hari ini.

Wendy menegaskan agar calon dari parti terbabit dilucut daripada bertanding pada PRK berkenaan kerana mendakwa telah melanggar peraturan.

Sementara itu Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya tidak merasakan perbuatan itu sebagai satu perkara yang boleh dianggap melanggar peraturan pilihan raya.

Katanya, selagi mereka tidak memasuki kawasan 50 meter daripada yang dibenarkan, perkara itu tidak dianggap sebagai satu kesalahan.

“Susah kalau kita nak kata itu tak boleh, ini tak boleh. Tapi selagi mereka ikut peraturan, ia dibenarkan.

” Kalau di luar 50 meter, kalau good nature, kita ambil soft approach (pendekatan berhemah) menasihati mereka, ” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast