Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR- Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng dengan majoriti sebanyak 15,086 undi adalah bukti bahawa Muafakat Nasional diterima baik oleh rakyat dan menjadi sebagai hala tuju baharu dalam membina semula negara.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, kejayaan itu adalah suatu yang hebat jika dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu di mana calon BN hanya kalah 524 undi dengan calon Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, PRK Tanjung Piai juga menunjukkan landskap politik negara telah berubah di mana rakyat menolak kerajaan PH walaupun pelbagai insentif, janji, bantuan serta projek pembangunan telah ditawarkan.

“Rakyat kini telah sedar bahawa naratif pentadbiran yang dibawa kerajaan PH gagal memakmurkan negara, malah menjadikan negara semakin ketinggalan kerana tadbir urus yang tidak baik.

“Pada masa yang sama, kemenangan ini akan menjadi momentum kepada BN dalam menghadapi PRU-15 akan datang dengan membawa prinsip Muafakat Nasional sebagai haja tuju dan masa depan Malaysia yang lebih baik.

“Peristiwa bersejarah ini membawa mesej kepada kerajaan PH bahawa kebangkitan BN dan prinisip Muafakat Nasional bermula di Tanjung Piai dan diterima baik oleh setiap lapisan masyarakat kerana rakyat telah benci dengan pentadbiran PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najmil yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu berkata, Pergerakan Pemuda Umno  mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN dan PAS di pelbagai peringkat kerana berusaha keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita.

“Perkara yang penting sekali kita telah buktikan Muafakat Nasional mampu merampas kembali kerajaan pusat dan negeri pada PRU akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette