Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Dana asing merupakan penjual bersih berjumlah RM351.6 juta antara 11 dan 14 Nov, lebih tinggi daripada RM44.1 juta yang dicatatkan antara 4 hingga 7 Nov.

Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata situasi ini menunjukkan bahawa pelabur asing mengambil sikap berhati-hati terhadap ekuiti Malaysia.

“Isu-isu yang membelenggu perbincangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, terus menjadi tumpuan memandangkan kemajuannya masih tidak menentu,” katanya kepada Bernama hari ini.

“Angka terbaru keluaran dalam negara kasar suku ketiga 2019 (3Q2019) Malaysia menunjukkan bahawa impak daripada kelembapan global berikutan perang perdagangan yang berterusan sejak tahun lepas, menjejaskan permintaan luar,” kata Mohd Afzanizam.

Beliau berkata pertumbuhan yang lebih rendah sebanyak 4.4 peratus pada 3Q2019 berbanding 4.9 peratus pada suku sebelumnya disebabkan ketidaktentuan luar, menyumbang kepada sentimen perniagaan dan pengguna yang lemah dalam negara.

Selain itu, beliau berkata perbelanjaan pengguna yang terus menjadi tunggak utama untuk pertumbuhan domestik telah kembali ke paras normal.

Beliau berkata perkembangan membabitkan perang perdagangan US-China akan terus menjadi tumpuan utama bagi pasaran ekuiti.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata pengumuman keputusan pendapatan syarikat bagi tempoh 3Q2019 dijangka meningkatkan momentum.

FBM KLCI Bursa Malaysia ditutup di bawah 1,600 mata minggu ini.

“Secara menyeluruh, FBM KLCI dijangka didagangkan dalam jajaran kecil minggu depan,” katanya.- BERNAMA