Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pertubuhan IKATAN Komuniti Selamat (IKATAN) di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sepatutnya merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita parti itu secara bersama di Melaka pada 6 Disember depan.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menegaskan, ini kerana secara konvensyen dan tradisi, pemimpin nombor dua parti akan dijemput setiap tahun.

Malah kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dalam keadaan parti yang tidak lagi stabil, keputusan yang dibuat perlu mengutamakan perpaduan dan kebersamaan.

“Saya lebih selesa sekiranya ikut tradisi konvenysen. Dalam kita memantapkan parti, kita harus mengikut konvensyen dan tradisi.

“Dalam kita tidak lagi stabil, kita perlu erat perpaduan dan kebersamaan. Kalau beliau (presiden parti) rasa itu cara erat perpaduan, beliau boleh terus,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan keselamatan iaitu Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN) di Ampang hari ini.

Turut hadir, Pengasas IKATAN, Tan Sri Lee Lam Thye.

Zuraida ditanya mengenai mesyuarat AMK memutuskan penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Mohamed Azmin bagi merasmikan Kongres Nasional itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, keputusan pembatalan jemputan ke atas Menteri Hal Ehwal ekonomi itu diputuskan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Zuraida menambah, jika presiden menggunakan kuasanya untuk membuat keputusan yang berlainan, ia terserah kepada Anwar untuk meneruskannya.

“Jika beliau fikir keputusan itu boleh mengundang keharmonian dan perpaduan, beliau boleh teruskan. Sama ada ahli parti keliru, itu keputusan presiden,” katanya.

Kelmarin, Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha menegaskan Kongres Tahunan sayap itu akan dirasmikan Mohamed Azmin.

Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi meneruskan tradisi yang diamalkan sejak pembentukan sayap wanita itu serta AMK.- MalaysiaGazette