Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng beramah mesra dengan sebahagian penduduk pada hari pertama sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai selepas menang Pilihan Raya Kecil P. 165 Tanjung Piai di Pekan Nanas, Johor. foto AFFAN FAUZI, 17 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Para pengundi Parlimen Tanjung Piai mahu agar wakil rakyat baharu dapat membawa suara mereka ke Dewan Rakyat dan menuntut segala janji yang ditabur oleh kerajaan.

Malah, rata-rata mereka yang ditemui berharap supaya dengan bertambahnya ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat nanti segala rintihan dihadapi mereka dapat didengari.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, rata-rata masyarakat di situ yakin Jeck Seng mampu menggalas tanggungjawabnya sebagai pemimpin mereka kerana beliau pernah menunjukkan presatsinya sebelum ini.

Zuraida Ahmad

Seorang peniaga makanan, Zuraida Ahmad, 46, berkata, suara Jeck Seng sebagai pembangkang sangat penting dalam membela nasib rakyat yang selama ini tertindas dengan pelbagai masalah terutamanya terhadap kenaikan harga barang.

Katanya, sebagai seorang peniaga makanan beban terhadap kos harga barang yang tinggi memberi tekanan kepadanya dan berharap Jeck Seng akan tegas menyuarakan masalah itu di Parlimen.

“Saya gembira bila dapat tahu YB Jeck Seng menang pada PRK semalam. Saya tahu dia boleh laksanakan kerjanya sebab dia pernah jadi wakil rakyat di sini.

“Saya harap isu peningkatan kos harga barang yang tinggi ini dapat disuarakan dengan tegas olehnya demi kebaikan keseluruhan rakyat,” katanya.

Ibrahim Bahari, 65, yang juga seorang peniaga berkata, kemenangan Jeck Seng itu merupakan kejayaan rakyat yang menolak Pakatan Harapan (PH) serta tidak mahu diperbodohkan lagi.

Ibrahim Bahari

Ujarnya, Jeck Seng memang sesuai untuk menjadi wakil rakyat  kerana beliau sangat mengetahui masalah yang dihadapi rakyat di kaewasan berkenaan lebih-lebih lagi selepas PH mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Baguslah Jeck Seng yang menang. Dia itu memang baik, saya kenal dia pun sudah lama.

“Saya tahu Jeck Seng mampu menuntut segala yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan semasa berkempen dan kerana itu pengundi memberikan mandat besar kepadanya,” ujarnya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Koh Fui Voon, 31, pula berkata, pengundi-pengundi yang telah memberikan undinya kepada Jeck Seng tidak silap membuat keputusan itu kerana beliau seorang yang komited dalam membawa suara rakyat.

Koh Fui Voon

Katanya, suara pembangkang di Parlimen perlu kuat untuk menjadi isyarat kepada kerajaan agar tidak mudah melupakan janjinya.

“Dia (Jeck Seng) bukan orang baru dalam politik. Dia pernah jadi wakil rakyat, jadi dia tahu apa yang nak dibuat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa nak susah hati.
    Lebih 11000 warga emas di tanjung piai akan pergi menunaikan umrah secara percuma.
    Yg dijanjikan oleh ahli parlimen baru tu
    Alhamdulillah
    Ini lah senikmat-nikmat kehidupan.

    Tapi kalau setakat pembangkang rasanya tak ada kesan kot, cakap boleh lah.
    Tapi tindakan tunggulah apabila bn berkuasa semula.

    Sebb setiap wakil kerajaan sama ada tidak berjawatan, atau exco atau menteri mereka akan utamakan peruntukan pada kawasan masing2.

    Ini biasalah bagi mana2 ahli politik kerajaan yg diamalkan oleh umno bn.

    Jadi kalau tak dapat limpahan pembangunan, kena lah senyap je.

    Sbb penduduk tanjung piai dah buat pilihan.

    DAH TEMBAK KAKI SENDIRI.
    SENDIRI RASA SENDIRI CARI UBATNYA

Comments are closed.