Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap pada Ceramah Malam Penentuan Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah gagal memanfaatkan sepenuhnya jentera parti sehingga menyumbang kepada kekalahan calon PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam.

Pemuda PH yang terdiri daripada empat parti iaitu Bersatu, DAP, PKR dan Amanah sepatutnya perlu bermuafakat supaya dapat memainkan peranan yang besar dalam pilihan raya kecil itu, namun ia tidak berlaku sedemikian.

Malah, menurut Timbalan Ketua Pemuda PH Terengganu, Syaiful Irfan Anang, Syed Saddiq gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai ketua sayap apabila gerak kerja dan mobilasasi jentera pemuda PH berada pada tahap yang sangat lemah.

“Walhal pemuda PH seluruh Malaysia menunjukkan semangat yang tinggi untuk berbakti namun kepimpinan memperlihatkan kelemahan didalam sistem tadbir urus dan berorganisasi,” katanya yang juga merupakan Ketua Armada Bersatu Terengganu.

Syaiful berkata demikian dalam kenyataan media bertajuk “Punca kekalahan sebenar bukan terletak pada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad” merujuk kepada kenyataan Syed Husin Ali semalam yang membuat rumusan bahawa apa yang berlaku di Tanjung Piai didorong oleh rasa kecewa rakyat terhadap PH dan perdana menteri.

Sehubungan dengan itu, Syaiful berpendapat, Menteri Belia dan Sukan itu perlu diberi teguran kerana kekalahan di Tanjung Piai sangat mendukacitakan di mana rakyat Johor memilih untuk menolak PH kerana beliau terpalit dengan pelbagai isu yang tidak dapat diselesaikan terutamanya melibatkan istana.

“Umum mengetahui rakyat Johor sangat sinonim dengan ‘bangsa Johor’ yang rapat dengan kesultanan yang berperanan sebagai payung kepada agama dan bangsa,” katanya.

Syaiful turut menyeru Syed Saddiq supaya berjiwa besar dan segera bermuhasabah memperkasakan akar umbi serta barisan pemuda supaya Pakatan Harapan bertambah kukuh demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia . – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.