KUALA LUMPUR – Jurulatih sementara Indonesia, Yeyen Tumena menyifatkan hubungan negaranya dan Malaysia kekal bersaudara biarpun apa yang terjadi.
Pengganti kepada Simon McMenemy itu berkata, kedua-dua negara itu hanya bermusuh sepanjang 90 minit sahaja di atas padang.
Dia turut menggambarkan semua pemain bola sepak adalah satu keluarga biarpun berbeza pasukan.
“Penyokong Malaysia dan Indonesia hanya bermusuh 90 minit sahaja. Selepas itu kita tetap saudara. Bola sepak ini ibarat satu keluarga kerana kita akan sentiasa bertemu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi latihan menjelang pertemuan menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Malaysia akan menentang Indonesia pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di stadium sama malam esok.
Yeyen menggantikan McMenemy yang bakal dipecat selepas perlawanan esok.
Persatuan Bola Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menjelaskan mereka tidak lagi akan bersama pengendali dari Scotland itu.
Indonesia kini menghuni tangga tercorot Kumpulan G selepas tewas semua empat aksi kelayakan yang menyaksikan kempen #SimonOut dilancarkan di laman media sosial untuk mendesak pemecatan jurulatih itu sebelum ini.
Yeyen ditanya kehadiran penonton seramai 90,000 esok selain insiden rusuhan yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta pada aksi pertama pada awal September lalu.
Dia yang sebelum ini merupakan penolong jurulatih kepada McMenemy berkata, kehadiran penonton yang ramai perlu diambil positif oleh anak buahnya.
Apatah lagi katanya, pemain Garuda itu memiliki pengalaman bermain di depan penonton yang padat bersama kelab masing-masing dalam liga negara itu.
“Kehadiran penyokong Malaysia tidak memberi tekanan sebaliknya semangat kepada kedua-dua pasukan untuk beraksi,” katanya. – MalaysiaGazette