DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM750 kepada kakitangan awam kerajaan negeri, yang akan dibayar pada Disember ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pemberian itu melibatkan semua 8,000 penjawat awam negeri, tanpa pengecualian gred melibatkan peruntukan sebanyak RM6 juta.

“Pemberian ini adalah bertambah daripada RM500 pada tahun lalu. Kita memberikannya kepada semua kerana pencapaian hari ini, adalah hasil usaha kita semua,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Pahang 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Wan Rosdy juga menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Khamis minggu pertama setiap bulan sebagai Hari Tenun Pahang Diraja, dalam usaha memperkasakan tekstil itu yang menjadi identiti negeri ini.

Pada pembentangan itu, beliau juga memaklumkan peruntukan RM23.59 juta akan diberikan kepada Yayasan Pahang bagi agihan biasiswa kepada 49,720 penerima biasiswa sekolah rendah dan menengah, selain Geran Bantuan Belajar ke institusi pendidikan tinggi secara sekali bayar sahaja kepada 11,000 anak jati Pahang.

“Kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi pembayaran elaun kepada 350 orang guru kelas al-Quran asrama yang mendidik pelajar sekolah rendah dan menengah yang tinggal di asrama seluruh Pahang.

“RM3 juta diperuntukkan bagi tujuan penyelenggaran bagi semua sekolah agama Pahang bagi menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pelajar selain RM72.6 juta untuk memperkasakan misi pendidikan aliran agama termasuk pembayaran elaun guru Sekolah Menengah Agama Negeri,” katanya.

Bagi memperkasakan wanita, Wan Roady berkata sebanyak RM140,000 diperuntukkan kepada Unit Pembangunan Wanita yang ditubuhkan bagi merangka pelan tindakan berkaitan wanita.

Wan Rosdy berkata untuk tahun depan, kerajaan negeri menyasarkan 1,000 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang dapat disiapkan selain 2,000 tawaran rumah meliputi projek PR1MA dan rumah Makmur.

Bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta sebagai persediaan atlet selain RM120,000 untuk membeli tiga unit perahu layar di bawah Majlis Sukan Pahang serta RM200,000 untuk penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan sukan.– BERNAMA