Gotabaya Rajapaksa. foto Agensi

COLOMBO – Bekas Ketua Pertahanan perang sivil Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa diumumkan sebagai presiden baharu selepas memenangi pilihan raya semalam.

Rajapaksa akan mengangkat bersumpah di kuil Buddha pada hari Isnin.

Beliau yang mengulas kemenangannya itu berikrar akan menjadi pemimpin kepada semua rakyat Sri Lanka tanpa mengambil kira etnik dan agama.

Rajapaksa telah menewaskan Sajith Premadasa, Menteri Perumahan kerajaan sedia ada.

“Dalam melalui perjalanan baharu untuk Sri Lanka, kita harus ingat bahawa semua rakyat negara ini adalah sebahagian daripada perjalanan ini. Marilah kita bergembira dengan damai, bermaruah dan disiplin dengan cara yang sama semasa kita berkempen,” kata Rajapaksa menerusi Twitter.

Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, Rajapaksa memenangi 52.25% undi pada pilihan raya pada Sabtu, manakala Premadasa mendapat 41.99%, sekali gus merekodkan kemenangan besar buat Rajapaksa daripada ramalan oleh ahli-ahli politik dan penganalisis.

Berjuta-juta pengundi memilih presiden baru untuk mengetuai negara itu yang mengalami kemerosotan ekonomi paling teruk dalam tempoh 15 tahun.

Masalah ekonomi disebabkan kejatuhan sektor pelancongannya selepas pengeboman pada 21 April yang membunuh lebih daripada 250 orang. – MalaysiaGazette