Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Biarpun pasaran saham tempatan merudum namun ia gagal menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur di negara ini menyebabkan ekuiti-ekuiti tempatan berada pada paras paling rendah di rantau ini.

Saham-saham tempatan telah jatuh ke paras nilai terendah dalam sedekad ini.

Namun pakar-pakar kewangan menyifatkan kejatuhan harga sahaja tidak mencukupi untuk ‘menggoda’ para pelabur menghadapi risiko politik negara yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Pelaburan Ekuiti Asia di UBP Asset Management Asia Ltd, Michiel van Voorst memberitahu Bloomberg, “penilaian tanpa pemangkin tidak mencukupi.

Sebaliknya, kitaran keuntungan perlu ditambah baik melalui peningkatan tambahan.

Sejak Pakatan Harapan (PH) menang secara mengejut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun lalu, para pelabur asing telah membawa keluar berbilion-bilion dolar daripada pasaran tempatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Setakat tahun ini sebanyak AS$2 bilion dibawa keluar.

Aliran keluar modal Malaysia adalah terburuk dalam pasaran-pasaran baru muncul Asia dengan saiz lebih besar berbanding Thailand, yang menyaksikan sejumlah AS$446 juta dibawa keluar.

Pelbagai perkara yang menyumbang kepada keadaan itu, yang menurut Bloomberg sebahagiannya disebabkan oleh pembatalan projek infrastruktur utama kerajaan daripada pentadbiran terdahulu.

Pelabur juga berhati-hati dengan pergolakan politik lanjutan pilihan raya umum yang belum berakhir kerana PH masih harus menangani peralihan kuasa daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ketidakpastian tentang siapa yang akan menjadi perdana menteri yang akan datang dan kemajuan kecil dalam dasar kerajaan tidak menjadikan Malaysia menonjol di antara negara-negara lain,” ketua pegawai pelaburan Ang Kok Heng di Phillip Capital Management.

Memulihkan keyakinan pelabur di Malaysia kini menjadi semakin terdesak untuk PH selepas ia mengalami kekalahan hebat dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai pada Sabtu lalu. – MalaysiaGazette