Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai yang sah dihadapan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof selepas menang Pilihan Raya Kecil P. 165 Tanjung Piai di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 18 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng disahkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai selepas mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, hari ini.

Majlis pada jam 10 pagi itu dimaklumkan di Dewan Rakyat di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof.

Menyaksikan majlis angkat sumpah adalah Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Jeck Seng memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu memperoleh 25,466 undi daripada 128 saluran undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai Zulkifly Mohd Tahir, malam Sabtu lalu.

Keputusan rasmi itu menunjukkan Jeck Seng menewaskan pencabarnya iaitu calon PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Untuk rekod, Jeck Seng pernah memegang jawatan sama dua penggal sebelum ini.

Daripada 52,471 pengundi berdaftar, sejumlah 74.5 peratus pengundi melaksanakan tanggungjawab membuang undi pada PRK tersebut.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung 21 September lalu. -MalaysiaGazette