Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof diiringi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Nik Omar Nik Abdul Aziz menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 NOVEMBER 2019

SEPANG – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menjelaskan beliau tidak tahu menahu mengenai pertemuan 22 Ahli Parlimen UMNO dan lima Ahli Parlimen PKR di kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali malam tadi.

Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara itu, perkara tersebut di luar pengetahuan beliau.

“Saya tidak tahu. Di luar bidang kuasa saya. Kena tanya mereka,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Movenpick Hotel And Convention Centre KLIA di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nik Omar Nik Abd Aziz.

Mujahid berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan tersebut yang sebelum ini menjadi spekulasi di media sosial.

Kesemua mereka tiba pukul 7 petang dan meninggalkan kediaman Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada pukul 11 malam.

Antara yang hadir ialah Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin; Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid, Ahli Parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad; Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

Turut dipercayai hadir Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman dan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah.

Selain itu Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jamaluddin Alias; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noriani Ahmad.

Bagaimanapun Mohd Sahar yang dinamakan hadir pada pertemuan tersebut menafikan berbuat demikian. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Azmin adakan pertemuan sulit dengan 30 Ahli Parlimen BN?

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.