Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam (dua kiri) bersama Pengarah LaLiga Business School, Jose Moya (dua kanan) bergambar kenangan pada Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Malaysia Football League (MFL) dan Jabatan Pendidikan LaLiga di Wisma FAM, Kelana Jaya. foto MALAYSIA GAZETTE, 19 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan jalinan kerjasama dengan salah satu jenama sukan terbesar, LaLiga dalam usaha membangunkan program pendidikan serta memupuk semangat profesional dalam industri bola sepak tempatan.

MFL dan Jabatan Pendidikan LaLiga daripada LaLiga Business School akan bersama-sama membangunkan pengajian berkaitan sukan bagi membantu golongan profesional daripada MFL, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kelab-kelab Liga Malaysia termasuk semua pihak yang terlibat dalam industri bola sepak bermula pada awal tahun 2020 dengan kursus pemasaran sukan (27hb-30hb Mac 2020).

Matlamat kerjasama di antara kedua-dua pihak ini untuk menggunakan teoretikal, asas pengetahuan praktikal dan rangkaian hubungan mereka dalam menyediakan medium kepada keseluruhan industri bola sepak tempatan mendapatkan ilmu pengetahuan.

Menerusi ilmu pengetahuan itu, ia akan membantu memantapkan lagi tahap profesionalisme dan kemajuan bola sepak Malaysia.

Kerjasama ini termetrai dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mohd Joehari Ayub dan Razali Dolhan; Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam; Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam; Pengarah LaLiga Business School, José Moya dan Delegasi LaLiga di Malaysia, Giorgio Pompili Rossi hari ini di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Susulan daripada perjanjian ini, kedua-dua pihak akan melancarkan Program Pemasaran Sukan dengan mensasarkan penyertaan individu daripada pasukan, kakitangan teknikal MFL, FAM, persatuan-persatuan sukan tanah air dan orang awam.

“Kami sangat gembira berada di sini hari ini dan menyumbang bukan sahaja pengetahuan kami tetapi juga ahli profesional kami yang sudah berada di Malaysia. Perjanjian ini menyoroti komitmen LaLiga untuk pembangunan bola sepak profesional di peringkat antarabangsa, latihan dan pendidikan kelas dunia,” kata José Moya.

Giorgio Pompili Rossi menambah, ia adalah satu penghormatan bagi LaLiga untuk bergabung dengan institusi berprestij seperti MFL, FAM dan yakin bahawa semua pihak yang terlibat akan mendapat manfaat daripada pertukaran pengetahuan ini.

“Saya harap kerjasama tiga pihak ini adalah titik permulaan lebih banyak aktiviti pada masa depan secara bersama.

“Perjanjian ini menunjukkan sekali lagi komitmen LaLiga yang kuat untuk membantu perkembangan bola sepak di seluruh dunia. LaLiga Business School sudah menjadi realiti di pentas antarabangsa, kami sangat gembira dapat berkongsi kepakaran dan pengetahuan kami di Asia, dengan perjanjian pertama kami di benua ini,” kata Pengarah Urusan LaLiga SEA – Korea – Jepun – Australia, Ivan Codina.

“Ini adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan, yang mana Liga Malaysia telah mula mendapat perhatian dan saya percaya perkongsian ini akan memberikan manfaat cukup besar kepada MFL dan Liga Malaysia khususnya dalam mendidik pegawai pengurusan bola sepak mengendalikan pasukan lebih profesional serta berdaya saing,” kata Kevin.

Sementara itu, Joehari berkata, MFL sentiasa berusaha keras untuk memastikan kualiti bola sepak negara berada dalam landasan terbaik.

“Saya optimis perkongsian bersama LaLiga ini akan menjadi permulaan terbaik bagi industri bola sepak Malaysia untuk mewujudkan persekitaran positif sesuai dengan visi serta misi Presiden MFL dalam meningkatkan tahap profesionalisme pasukan Liga Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, LaLiga Business School adalah jabatan pendidikan yang diwujudkan untuk melatih bakat dalam sektor industri sukan dan membantu perkongsian kepakaran secara profesional dari segi pengurusan sukan.

“Perjalanan kerjasama terbaharu ini menyaksikan Malaysia mengikut jejak langkah Mexico, Mesir dan Colombia yang sudah bekerjasama dengan LaLiga, sekali gus membuktikan komitmen LaLiga bagi menyediakan latihan dan pendidikan sebagai asas profesionalisme dalam sektor ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast