Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2018.
Tan Sri Abdul Gani Patail

KUALA LUMPUR – Saksi ke-4 perbicaraan pinda Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ali Hamsa yang masuk hari ke-2 memberi keterangan mengenai dua orang penting yang dipecat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dua pemimpin itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kerana sudah tidak mempercayai kedua-dua individu itu.

Gani Patail yang telah berkhidmat sebagai Peguam Negara bermula 1 Januari 2002 sehingga 27 Julai 2015 juga pernah berperanan menerajui pasukan khas antara agensi kerajaan yang menyiasat skandal 1MDB.

Manakala Muhyiddin pula, dakwa Ali Hamsa telah banyak membangkitkan isu-isu berkaitan 1MDB ketika mesyuarat Kabinet kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Ali Hamsa berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan sebentar tadi.

Gopal Sri Ram: Apa yang terjadi kepada peyandang jawatan Peguam Negara sebelum Apandi Ali?

Ali Hamsa: Perdana Menteri pada masa itu hilang percaya terhadapnya.

Gopal Sri Ram: Tidak apa-apa. Kamu tidak perlu takut ketika jawab soalan. Ini adalah tempat pengadilan. Jangan takut.

Ali Hamsa: Apabila saya serahkan surat pemecatan kepada Gani Patail, beliau memberitahu saya sudah menjangkakan ini akan berlaku kepada dirinya.

Saya telah hantar surat pemecatan kepada Yang di-Pertuan Agong, kemudian satu lagi surat kepada Gani Patail sendiri. Saya juga beritahu seperti yang diberitahu kepada saya bahawa beliau perlu mengosongkan pejabatnya dan tidak boleh ambil apa-apa dokumen.

Gopal Sri Ram: Apa pula jadi kepada Muhyiddin Yassin?

Ali Hamsa: Ketika itu dalam Kabinet sudah ada isu berkaitan Timbalan Perdana Menteri yang pada masa itu adalah Muhyiddin Yassin. Saya telah dimaklumkan Gani Patail dan Muhyiddin telah mengadakan pertemuan di sebuah pusat beli belah.

Ini juga antara isu mengapa sudah tidak ada kepercayaan. Muhyiddin juga banyak bertanyakan soalan berkaitan 1MDB ketika mesyuarat Kabinet kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Gopal Sri Ram: Reaksi Najib pada masa itu?

Ali Hamsa: Beliau tampak tenang sahaja. Ada jawapan diberikan atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, ada juga sebagai Menteri Kewangan kepada soalan-soalan Muhyiddin.

Gopal Sri Ram: Apa yang terjadi selepas itu kepada Muhyiddin?

Ali Hamsa: Muhyiddin telah ‘dikeluarkan’ daripada jawatan tersebut.

Perbicaraan akan bersambung esok dengan saksi sama di hadapan Mohamed Zaini pada sebelah pagi. –MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.